KPDN Perak serbu tapak pembinaan, rampas 2,000 liter diesel

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah tapak pembinaan di Siputeh, dekat sini, semalam selepas disyaki menyimpan minyak diesel tanpa permit sah.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan sekitar jam 11 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN telah menemukan dua buah Kontena Pukal Pertengahan (IBC) berisi kira-kira 2,000 liter cecair disyaki minyak diesel.

“Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak pembinaan tersebut gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen, atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan.

“Berikutan itu, tindakan kes telah diambil dengan menyita kedua-dua kontena berkenaan serta sebuah pam minyak, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM6,540,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

Dalam pada itu, Kamalludin turut menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Sebagai langkah strategik membanteras aktiviti seumpama itu, KPDN kini giat melaksanakan inisiatif penguatkuasaan dikenali sebagai Kita Gempur bertujuan membentuk gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan.

“Inisiatif ini juga merangkumi usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan dalam e-dagang serta membanteras monopoli dan kartel yang mengganggu pasaran secara tidak sah,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN tumpas sindiket ubah suai tangki kapal cuba seleweng diesel

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI