KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan memperluas kerjasama bersama platform e-dagang utama termasuk TikTok Shop Malaysia.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata KBBM bukan sekadar kempen promosi, sebaliknya satu gerakan patriotisme ekonomi yang menyemarakkan semangat cintakan produk tempatan serta membantu pembangunan sosioekonomi rakyat.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2024, KBBM melalui platform e-dagang termasuk TikTok Shop telah mencatat nilai jualan RM1.99 bilion, melibatkan lebih 1.64 juta unit stok (SKU).
“Statistik ini menunjukkan rakyat semakin menerima produk buatan Malaysia dan kita mahu melonjakkan lagi pencapaian ini pada masa depan,” katanya ketika merasmikan TikTok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025 di Pavilion Bukit Jalil, hari ini.
TikTok Shop antara rakan strategik utama KPDN melalui kempen “Jom Lokal”, seiring dengan tema KBBM “Jom Beli Lokal”.
Karnival jualan mega yang berlangsung dari 7 hingga 9 November ini merupakan acara fizikal pertama yang menghimpunkan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pempengaruh dan selebriti tempatan dengan pelbagai tawaran menarik termasuk baucar berganda sehingga 30 peratus serta penghantaran percuma tanpa had.
Dalam masa sama, KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut bekerjasama dengan TikTok bagi memperkukuh kesedaran dan perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan digital. – MalaysiaGazette


