KPDN Pulau Pinang serbu pusat hiburan guna karya muzik salinan

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, menyita set mesin karaoke yang mengandungi lagu disyaki salinan langgaran di sebuah pusat hiburan di sini, semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, hasil serbuan dijalankan ke atas premis tersebut membawa kepada penemuan perisian karya muzik dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Katanya, pihaknya menyita set karaoke yang mengandungi beberapa jenis perisian karya muzik yang disyaki salinan langgaran sebanyak enam buah lagu di pusat hiburan tersebut.

“Sitaan juga dilakukan ke atas pelbagai peralatan elektronik iaitu tiga unit mikrofon, amplifier dan mixer, pembesar suara dan sebuah televisyen yang dianggarkan bernilai RM89,500.

Antara peralatan yang disita KPDN dalam serbuan terbabit.

“Siasatan terhadap premis itu dilakukan mengikut Akta Hak Cipta 1987,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama Jegan turut memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berdepan tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit bersalah boleh didenda tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI