KPDN siasat dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 yang diterima pengguna selepas pelaksanaan subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 namun tiada aduan rasmi diterima berkaitan isu kualiti rendah.

“Sehubungan itu, pegawai penguat kuasa KPDN sudah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, kementerian memandang serius dakwaan di media sosial kononnya pengguna menerima kuantiti dan kualiti minyak RON95 yang diragui selepas pelaksanaan Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Ujar beliau, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sudah mengarahkan mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi memastikan isu terbabit dapat disiasat dengan telus dalam memastikan hak pengguna terus dilindungi.

Menurut kenyataan itu, tindakan dilaksanakan termasuk pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan.

Namun katanya, hasil siasatan mendapati tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

“Kementerian ingin menegaskan pelaksanaan BUDI95 tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.

“Bagaimanapun pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, pihaknya juga memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini dan boleh didenda di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

“Syarikat terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya tidak melebihi RM500,000.

“Bagi kesalahan individu, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pada masa yang sama, KPDN menggalakkan orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berhubung isu ini untuk menyalurkan laporan rasmi kepada pihaknya.

“KPDN memberikan komitmen bahawa setiap aduan yang dikemukakan berserta maklumat berkaitan akan disusuli dengan tindakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI