KPDN tegur peniaga festival makanan, tanda harga perlu lebih jelas

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bertindak memberi teguran kepada beberapa peniaga di sebuah festival makanan yang sedang berlangsung di sini supaya memastikan tanda harga diletakkan di tempat yang lebih jelas dan mudah dilihat pelanggan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, teguran yang diberikan kepada peniaga terbabit adalah bersifat mendidik.

Menurutnya, pihaknya mahu ekosistem perniagaan di festival makanan tersebut bukan sahaja meriah, malah telus dari segi harga.

“Hasil tinjauan pasukan KPDN Perak di festival makanan itu mendapati tahap pematuhan peniaga berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Daripada 113 gerai yang telah diperiksa, terdapat beberapa perkara yang dikenal pasti untuk penambahbaikan, khususnya melibatkan kejelasan tanda harga.

“Secara keseluruhannya, kami mendapati setiap booth atau gerai yang diperiksa mempunyai tanda harga bagi setiap barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

“Ini adalah perkembangan positif dalam memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada sebarang aduan rasmi diterima berhubung kenaikan harga atau manipulasi harga di lokasi berkenaan, namun pemantauan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Untuk makluman, setakat ini, tiada sebarang aduan rasmi diterima oleh KPDN Perak berkaitan kenaikan harga atau manipulasi harga di festival berkenaan namun, kami akan terus memantau secara berkala,“ ujarnya.

Kamalludin turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan bertindak sebagai pengguna yang bijak dan jika terdapat sebarang keraguan atau salah laku peniaga, orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN perkukuh KBBM, TikTok Shop catat jualan hampir RM2 bilion

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI