IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak meningkatkan kawalan dan pemeriksaan stesen minyak khususnya di kawasan sempadan negeri bagi mengekang sebarang ketirisan susulan perbezaan harga bahan api dengan negara jiran.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan dipertingkat khususnya di kawasan sempadan Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Betong, Thailand.
“Berkenaan isu kenaikan harga minyak diesel atau petrol, di Perak kita ada sempadan di Pengkalan Hulu, Betong. Kita telah tingkatkan kawalan pemeriksaan di sana 24 jam mengikut waktu tempoh di sempadan itu.
“Kita juga tingkatkan pemeriksaan di stesen-stesen minyak di seluruh negeri Perak. Pasukan berpakaian seragam dan preman akan sentiasa memantau di stesen minyak.
“Jika berlaku cubaan untuk melakukan ketirisan, kita akan ambil tindakan tegas sebab kita nampak perbezaan harga sebanyak 80 sen berbanding dengan Thailand dan Singapura, tapi kita (bersempadan) dengan Thailand. Jadi jika ada ketirisan kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sesi walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 dan Jualan Rahmah Madani Aidilfitri di perkarangan Foyer Blok B Bangunan Persekutuan Greentown di sini pada Isnin.
Sementara itu, Kamalludin berkata, bekalan keperluan utama di negeri ini masih berada pada tahap mencukupi berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan di premis perniagaan.

“Berkenaan bekalan keperluan utama, di Perak ia mencukupi buat masa sekarang. Kami buat pemeriksaan ke kedai-kedai dan dapati minyak peket, gula masih banyak. Maknanya keperluan buat masa sekarang ini ada dan mencukupi,” ujarnya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat penguatkuasaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di seluruh negara melalui pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan (Intelligence-Led Enforcement) bagi memastikan subsidi berkenaan tidak diseleweng mana-mana pihak.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, langkah itu bertujuan memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pelaksanaan BUDI95.
Beliau berkata, konflik di Asia Barat perlu diberi perhatian serius kerana isu itu menyebabkan lonjakan harga minyak global, sekali gus dipercayai menarik minat pihak luar untuk mendapat bekalan petrol murah di Malaysia berbanding negara lain. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SHMMP Tahun Baharu Cina: KPDN keluar kompaun berjumlah RM157,000


