IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, menggagalkan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan mengubah suai tangki kapal bagi memuatkan lebih banyak bahan api itu dalam serbuan di sebuah premis di Pantai Remis, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalluddin Ismail berkata, hasil serbuan pada 10.30 pagi itu, pihaknya merampas 50,900 liter cecair disyaki diesel dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM355,040.
“Berdasarkan pemeriksaan dan maklumat risikan, modus operandi sindiket ini didapati adalah mengubah suai tangki kapal sebenar dengan had 3,000 liter kepada tangki tambahan berkapasiti 7,000 liter.
“Minyak diesel disyaki dibeli menggunakan kuota kapal lain pada harga subsidi dan kemudian dijual kepada pihak industri di sekitar Pantai Remis,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Beliau berkata, ketika serbuan, didapati sebuah kapal sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dari tangki kapal ke sebuah tangki skid menggunakan hos dan pam penyedut.
“Pemeriksaan turut menemukan dokumen pembelian dan penjualan serta kad kuota kapal lain yang disyaki digunakan untuk penyelewengan itu.
“Premis terbabit turut mempunyai premit menyimpan barang kawalan berjadual diesel tidak bersubsidi dengan had kuantiti simpanan 58,000 liter untuk kegunaan kapal nelayan kategori C2,” katanya.
Susulan itu katanya, seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang mengaku pemilik premis telah ditahan manakala sebuah kapal pukat hanyut dan peralatan penyedut minyak disita untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. -BERNAMA