TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan penguatkuasan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 membabitkan 16 barang selama sembilan hari bermula Sabtu ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak lima jenis barangan ditambah dalam SHMMP Tahun Baharu Cina tahun ini daripada 11 barangan tahun lalu.
Menurut beliau, tempoh pelaksanaan bermula 25 Januari hingga 2 Februari itu akan dilaksanakan empat hari sebelum perayaaan, sehari masa hari raya dan empat hari lagi selepas Tahun Baharu Cina.
“Lima barangan yang ditambah kali ini adalah cili merah, bawang kuning besar, barang merah besar import, dan sawi pendek atau sawi Jepun bagi Semenanjung Malaysia sahaja.
“Manakala satu lagi barangan kawalan adalah kepak ayam bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Program Jualan Rahmah Madani Dan Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di Pasar raya Lotus’s, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.
Barangan lain termasuk ikan bawal putih (200-400 gram); udang putih (41 hingga 60 ekor sekilogram); kobis bulat import (Indonesia dan China); ubi kentang import (China) bawang putih (China); halia tua import; lobak merah; lobak putih; babi hidup; daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Armizan berkata, pihaknya juga telah mengarahkan agar semua 16 barangan berkenaan ditandakan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna.
Jelas beliau, pegawai dan penguatkuasa KPDN akan turun ke lapangan bagi melihat pematuhan dan melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan para peniaga mematuhi arahan diberi.
“Skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah ditetapkan di peringkat borong dan runcit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
“Kita juga mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pengguna, rakyat sekiranya terdapat peniagan yang tidak mematuhi arahan skim ini dan laporan boleh dibuat di platform aduan yang disediakan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: