KPKT kaji cadangan pinda Akta 118

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji cadangan untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi meluaskan skop penguatkuasaannya kepada projek komersial bermasalah.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pindaan yang dicadangkan itu akan membolehkan tindakan diambil dengan lebih berkesan dan menyeluruh termasuk menyenarai hitam ahli lembaga pengarah syarikat pemaju induk serta pemilik benefisial.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memperkukuh langkah pencegahan dan tindakan jangka panjang bagi mengurangkan risiko projek perumahan swasta menjadi bermasalah atau terbengkalai.

“KPKT akan mempergiat libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk agensi penguatkuasaan, badan perundangan, pemain industri dan wakil pengguna bagi memastikan pindaan Akta 118 relevan, menyeluruh dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Dengan pindaan yang dicadangkan ini, tindakan menyenarai hitam bukan sahaja akan dikenakan terhadap syarikat induk, tetapi juga pemilik sebenar di sebalik syarikat tersebut.

“Ini sedang dikaji dengan teliti dan jika semuanya berjalan lancar, pindaan ini dijangka dibentangkan tahun hadapan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya sama ada ahli lembaga pengarah syarikat pemaju dan pemaju projek komersial akan disenarai hitam sekiranya anak syarikat mereka terlibat dalam projek bermasalah serta sejauh mana keberkesanan langkah itu.

Nga menjelaskan, setelah sesuatu projek disahkan sebagai projek ‘sakit’, KPKT akan mengambil langkah proaktif dengan menyenarai hitam pemaju perumahan dan ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat.

Beliau berkata, syarikat yang mempunyai kaitan dengan pengarah yang sama akan dihalang daripada memohon lesen pembangunan baharu, manakala Akaun Pemajuan Perumahan sedia ada akan dibekukan.

Sehingga 30 Jun, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai telah mengenal pasti 233 projek yang lewat dan 360 projek ‘sakit’, dengan 220 daripadanya telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan 14 lagi telah dipulihkan kepada status aktif, melibatkan 25,822 unit rumah.

“Secara keseluruhan, sebanyak 1,127 projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan setakat ini, memberi manfaat kepada 135,000 pembeli rumah,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata KPKT telah membangunkan satu sistem khas bagi membolehkan bakal pembeli rumah menyemak senarai hitam syarikat pemaju melalui portal Teduh di https://teduh.kpkt.gov.my.

Beliau berkata, sistem ini menyediakan maklumat yang menyeluruh dan telus tentang syarikat pemaju perumahan untuk rujukan pembeli.

“Nasihat saya kepada pembeli adalah untuk merujuk sistem Teduh dan hanya membeli rumah daripada pemaju yang tidak tersenarai hitam.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 109 pemaju telah disenarai hitam dan dilarang daripada beroperasi dalam sektor pembangunan perumahan bagi melindungi hak dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai keberkesanan langkah menyenarai hitam tanpa adanya sistem pemarkahan terbuka atau penarafan rekod prestasi pemaju untuk rujukan awam sebelum membeli rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI