IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatnan (KPKT) akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjadikan pasar awam sebagai salah satu produk pelancongan di Malaysia.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pada masa ini pasar awam bukan sekadar tempat untuk membeli belah tetapi mempunyai peranan baru, khususnya untuk pembinaan pasar yang melebihi RM10 juta ke atas.
Menurutnya, pasar awam lama yang berusia lebih separuh abad perlu menjalani transformasi untuk dijadikan destinasi pelancongan bagi menarik perhatian pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.
“Selain daripada merancakkan ekonomi setempat, ia (pasar awam) juga dapat menyumbang kepada industri pelancongan kita yang kini sudah menjadi sumber pendapatan kedua terbesar negara kita.
“Khususnya, menjelang 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia, KPKT dan MOTAC juga sudah menetapkan sasaran ketibaan sekurang-kurangnya 35 juta pelancong ke negara kita dan menjana pendapatan sekitar RM147 bilion.
“Ini akan membawa satu impak yang sangat tinggi kepada para pengusaha yang terlibat termasuk F&B (industri makanan dan minuman), hotel dan macam-macam lagi,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Taman Canning di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.
Katanya, antara contoh pasar yang mempunyai ciri-ciri menarik untuk diperkenalkan adalah Kompleks Pasar Bukit Mertajam di Pulau Pinang dan Pasar Pasir Pinji, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, KPKT akan meminta kesemua 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengemukakan permohonan untuk menaik taraf pasar awam di kawasan seliaan masing-masing.
“Kita akan memberi keutamaan pembinaan pasar baru, khususnya kepada pasar yang bersejarah lebih setengah abad dan ke atas.
“Contohnya, di Perak, Pasar Pasir Pinji dan Pasar Pasir Puteh yang mengalami bencana kebakaran pada tahun lalu sewaktu Tahun Baharu Cina
“Kini kita menyasarkan pembinaan Pasar Besar Ipoh yang telah pun diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM15 juta.
“Itu (Pasar Besar Ipoh) memang ada tarikan khususnya dengan kedudukan logistik, strategik di tengah-tengah pusat bandar raya. Diharapkan ia dapat dijadikan Central Market seperti di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Sempena lawatan itu, beliau meninjau perkembangan pembinaan baharu Pasar Awam Pasir Pinji yang melibatkan peruntukkan RM16 juta di samping kerja naik taraf Pasar Awam Taman Canning dengan peruntukkan RM500,000.
Selain itu, Kor Ming turut memaklumkan sebanyak 50 lot parkir ditambah di sekitar Taman Canning bagi menampung keperluan orang awam memandangkan kawasan tersebut menjadi lokasi tumpuan pelancong untuk singgah ke Restoran New Hollywood dan Restoran Vegas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Larangan jualan arak: Yang tak boleh minum jangan beli – Nga