IPOH – Projek Taman Rekreasi Madani (TRM) akan terus diperluaskan di seluruh negara dengan peruntukkan sebanyak RM85.6 juta bagi tahun hadapan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukkan yang akan disalurkan kepada Jabatan Landskap Negara (JLN) itu selaras dengan hasrat membina 100 lagi TRM pada 2026.
Menurut Kor Ming, setakat ini sebanyak 216 buah TRM berjaya dibina di seluruh negara dalam tempoh 24 bulan termasuklah sasaran pembinaan 100 buah taman tersebut pada tahun 2025.
“Pagi ini kita sudah siap bina TRM ke-216 di Taman Tanjak, Batu Gajah yang mana ia juga merupakan TRM ke-100 untuk tahun 2025.
“Jadi dengan sukacitanya saya mengumumkan peruntukkan RM85.6 juga kepada Jabatan Landskap Negara supaya mereka terus menuju ke sasaran impian 1,000 Taman Rekreasi Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pada sidang media selepas merasmikan Ruang Komuniti (Rukom) ke-100 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang, di sini, pada Sabtu.
Menyentuh mengenai TRM di Perak, Kor Ming berkata, setakat ini terdapat 34 buah TRM telah diwujudkan di negeri ini yang juga merupakan antara paling banyak di seluruh negara.
“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebagai peneraju kesejahteraan komuniti bandar di bawah pimpinan Perdana Menteri akan terus komited dan cakna,” katanya.
Kor Ming turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan perbuatan vandalisme merosakkan TRM yang dibina sebaliknya menghargai kemudahan yang disediakan kerajaan.
“Dari pengalaman sebelum ini apabila Taman Madani siap, ada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab curi bangku, cabut lampu.
“Oleh kerana itu, saya harap sebagai rakyat Malaysia yang budiman dan berilmu, silalah jaga adab dan juga kesedaran sivik,” katanya. -MG Perak


