KAMPAR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan hampir RM7 juta bagi pelaksanaan 11 projek pembangunan dan infrastruktur awam di Kampar bagi tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan melalui Program Sentuhan Kasih KPKT itu antaranya disalurkan kepada Program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) sebanyak RM210,000.
Katanya, di bawah inisiatif sama,kementerian juga menyalurkan RM3.06 juta bagi projek pembangunan Majlis Daerah Kampar serta RM500,000 kepada projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Bandar Kampar.
“Antara projek lain yang disalurkan adalah program baik pulih rumah yang diperuntukkan sebanyak RM120,000, kemajuan Kampung Baru termasuk Bantuan Baik Pulih (RM1.3 juta), serta projek Rumah Mesra rakyat yang menelan belanja RM1.2 juta.
“KPKT juga menyalurkan peruntukan RM329,700 bagi projek penambahbaikan, pengubahsuaian dan penyelenggaraan tiga rumah ibadat bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Sentuhan Kasih KPKT 2024 di Pasar Awam Mambang Diawan, dekat sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Kor Ming memaklumkan, setiap peruntukan yang disalurkan KPKT kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah berdasarkan kepada Analisis Kos-Faedah Kewangan (CBA).
Jelas beliau, ia bagi memastikan peruntukan yang disalurkan itu benar-benar dapat membawa kepada manfaat yang mampu dirasai segenap lapisan rakyat.
Kata beliau lagi, perkara itu penting dalam usaha mengelakkan daripada mana-mana projek yang dirancang menjadi projek gajah putih seperti mana yang berlaku kepada pentadbiran terdahulu.
“Kita tetapkan kepada setiap PBT adalah untuk mereka harus menunjukkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang terbaik (dalam soal pengurusan pengurusan projek).
“Sekiranya berjalan dengan baik, maka peruntukan akan ditambah. Dan sekiranya tidak, saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka kerana kementerian tidak akan salurkan peruntukan pembangunan pada masa hadapan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: