IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa pelaksanaan kepada pemindahan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program Matrikulasi tidak akan menjejaskan proses pembelajaran pelajar yang terlibat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu memerlukan penelitian mendalam sebelum ia dapat dilaksanakan.
“Kita tidak melaksanakannya dengan terlalu segera atau secara tiba-tiba kerana ia melibatkan pelbagai persediaan termasuk dari segi penyelenggaraan aset, tenaga pengajar dan sebagainya.
“KPM dan KPT telah memulakan perbincangan tentang hal ini pada beberapa bulan lepas sewaktu kita hendak memuktamadkan RMK13 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penyerahan Peralatan ‘Smart Board’ atau Papan Pintar Interaktif kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Perak di Dewan Simee Silver Star, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan serta Pengarah Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Pada majlis, Kah Woh menyempurnakan penyerahan papan pintar interaktif kepada 83 sekolah SJKT di seluruh negeri dengan membabitkan peruntukan berjumlah RM984,000.
Dalam pada itu Kah Woh memaklumkan, perbincangan susulan antara KPM dan KPT akan diadakan pada minggu hadapan yang memberi tumpuan kepada penyusunan garis masa pelaksanaan usaha berkenaan.

“Setakat ini program Matrikulasi dan STPM masih kekal di bawah KPT, tetapi di bawah RMK13 yang akan bermula pada tahun hadapan perbincangan lanjut antara KPT dan KPT sentiasa diadakan.
“Kita mahu memastikan pelaksaan pemindahan ini akan berjalan dengan lancar dan tiada mana-mana pihak khususnya anak-anak kita terkesan dengan perkara ini.
“Perkara ini tidak berlalu drastik, sebagai contoh hari ini kita umum,esok kita terus pinda (peruntukan perundangan berkaitan). Sebaliknya ia tetap akan dilaksanakan (dengan cermat) sebagaimana yang telah digariskan di bawah RMK13,” katanya lagi.
Media pada 7 Disember lalu melaporkan, kerajaan akan melaksanakan pemindahan bagi STPM serta program Matrikulasi daripada KPM ke bawah KPT bagi menyelaraskan proses penilaian dan laluan kemasukan pelajar ke peringkat universiti.
Dilaporkan, ia merupakan antara perubahan besar yang akan dilakukan kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat awal dan memerlukan proses yang panjang termasuk pindaan akta sedia ada.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan agar laluan kemasukan ke universiti awam melalui STPM dan Matrikulasi diletakkan di bawah KPT, bukan KPM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemindahan STPM, matrikulasi ke KPT perlu masa, pindaan akta


