PERMATANG PAUH – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan pasukan perubatan ditempatkan pada setiap kejohanan sukan sekolah mengikut jenis acara yang dipertandingkan, bagi menjamin keselamatan pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menitikberatkan aspek kesihatan pelajar terlebih dahulu sebelum membenarkan penyertaan mereka dalam sebarang kejohanan sukan anjuran sekolah mahupun pihak luar.
Jelas Fadhlina, sejak awal lagi KPM menekankan kepentingan perkara itu dengan meminta ibu bapa memaklumkan keadaan kesihatan anak masing-masing yang menyertai sukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Daripada aspek kesihatan, anak-anak ini sebenarnya lebih awal kita telah pun memperingatkan dan laporan (perubatan) itu sebenarnya kita minta daripada ibu bapa untuk memaklumkan kepada kita.
“Jadi untuk kehadapan ini, tumpuan kita adalah soal keselamatan keseluruhan, maknanya bergantung kepada yang disebut sebagai jenis sukan itu dan kemudian persiapan sebagai perubatan iaitu (menempatkan) pasukan perubatan yang pastinya dipersiapkan juga dalam konteks setiap perlawanan.
“Pada masa sama, kita juga memperingatkan anak-anak dan jurulatih tentang keselamatan-keselamatan yang terus kita perlu tambah baik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas samaada KPM akan mewajibkan kepada pihak sekolah supaya mana-mana pelajar yang ingin mengikuti kejohanan sukan perlu membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
Ia susulan kematian mengejut seorang Pelajar Tingkatan Empat, Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, yang meninggal dunia ketika perlawanan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak pada Jumaat lalu.
Terdahulu, media melaporkan bedah siasat ke atas mayat pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor itu mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalaman otot pinggul.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dipetik berkata, berdasarkan maklumat awal diperoleh, mangsa rebah di hadapan khemah sekitar jam 10.30 pagi ketika ingin masuk ke padang bagi sesi separuh masa kedua perlawanan ragbi yang berlangsung antara pasukan SMS Johor dengan SMS Rembau.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dibuat penolong pegawai perubatan bertugas ketika kejadian mengesyaki mangsa terkena sawan berikutan keadaan badan mangsa menggigil dan keras (kejang).
Katanya, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan berikutan denyut nadi mangsa lemah sehingga dibawa ke HRPB tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 11.18 pagi kelmarin. – MalaysiaGazette