KPM perketat pemantauan projek sakit, komited siap sekolah tepat masa – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah pemantauan terhadap pelaksanaan semua projek pembangunan pendidikan termasuk projek yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ bagi memastikan kemudahan sekolah siap mengikut jadual serta dapat dimanfaatkan rakyat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2025 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini berkata, setakat ini terdapat 19 projek di bawah KPM yang berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Daripada jumlah itu, tiga projek siap lebih awal daripada jadual, lapan projek mengikut jadual, tiga projek lewat jadual dan lima lagi sedang melalui proses tender semula,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara faktor utama kelewatan atau berlakunya projek sakit termasuk kelemahan kontraktor dalam pengurusan projek dan kewangan, masalah logistik, kelewatan kelulusan penyambungan atau pengalihan utiliti.

Selain itu, isu luar jangka seperti cuaca tidak menentu, bencana alam, pandemik dan kenaikan harga bahan binaan.

“Secara umumnya, projek sakit merujuk kepada projek dengan kemajuan fizikal yang lewat melebihi dua bulan atau 20 peratus daripada jadual asal, dan kontraktor tidak berupaya memperbaiki prestasinya,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, tidak semua kelewatan berpunca daripada kontraktor, sebaliknya ada yang disebabkan faktor luar kawalan seperti gangguan utiliti, arahan perubahan kerja, perubahan keperluan pihak berkuasa tempatan dan kekurangan bahan binaan di pasaran.

Fadhlina berkata, bagi menangani isu ini, KPM telah melaksanakan pemantauan rapi di tapak projek, serta sesi libat urus berkala dengan pemegang taruh termasuk penyedia utiliti, syarikat bekalan air, pembekal tenaga elektrik, dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, kementerian turut menggunakan pelbagai platform di peringkat pusat seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi mengemukakan isu yang memerlukan intervensi kerajaan negeri.

“Mesyuarat panel penyelarasan kontrak turut digunakan bagi mengurus isu pentadbiran yang melibatkan projek sakit, manakala mesyuarat jawatankuasa tindakan kementerian menjadi platform utama untuk membentangkan status semasa setiap projek,” katanya.

Katanya lagi, KPM tidak teragak-agak untuk mengeluarkan notis tujuan penamatan kontrak terhadap mana-mana kontraktor atau perunding yang gagal menunaikan tanggungjawabnya.

Mengakhiri sesi penggulungan, Fadhlina menegaskan KPM komited memastikan setiap projek pembangunan pendidikan sama ada sekolah baharu, naik taraf atau penyelenggaraan siap mengikut jadual dan berkualiti bagi memenuhi hak akses pendidikan yang kondusif untuk semua rakyat.

“Kita mahu setiap projek pendidikan yang diluluskan benar-benar sampai kepada rakyat, terutama di kawasan pedalaman. Kelewatan akan terus ditangani secara berfokus melalui pemantauan tapak, penyelarasan kontrak dan tindakan terhadap kontraktor yang gagal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI