KPPK MAIPk mercu tanda warisan Melayu-Islam di Perak

Oleh: Ibrahim Ahmad dan Latipah Abdul Aziz

PERIBAHASA “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, amat bertepatan menggambarkan iltizam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam usaha mengekalkan seni bina warisan di tengah kepesatan pembangunan moden.

Peribahasa ini mencerminkan keteguhan warisan bangsa yang sentiasa relevan meskipun berdepan perubahan zaman. Dalam konteks pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK), ia memberi isyarat bahawa seni bina tradisional bukan sahaja mampu bertahan malah boleh diberi nafas baharu agar terus hidup dalam kerangka modenisasi.

Projek pembangunan KPPK bernilai RM74.6 juta bukan sekadar projek fizikal, sebaliknya merupakan simbol kesinambungan turath (warisan) yang menghubungkan generasi masa lalu dengan masa depan.

Usaha ini melambangkan komitmen MAIPk menjadikan warisan sebagai teras pembangunan dengan mengekalkan identiti Melayu-Islam yang menjadi akar budaya masyarakat Perak. Justeru, KPPK bakal menjadi medium penghubung antara nilai tradisi dengan aspirasi kontemporari sekali gus mengukuhkan jati diri masyarakat tempatan menghadapi cabaran globalisasi.

Fungsi moden, roh warisan

Reka bentuk KPPK berasaskan inspirasi Rumah Kutai, iaitu rumah tradisional Melayu Perak dengan ciri-ciri utama seperti bumbung lima, ukiran kayu halus pada tiang, siling dan tingkap serta penggunaan bahan binaan semula jadi.

Penerapan elemen-elemen ini mencerminkan nilai al-asalah (keaslian) yang diintegrasikan dengan al-hadathah (kemodenan) sekaligus meletakan kompleks ini sebagai model seni bina Melayu-Islam yang relevan merentas zaman.

Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh (dua, kiri) melawat reruai pameran pada Majlis Mula Kerja Pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Perkarangan Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, pada Khamis. Turut sama Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini (kanan). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 SEPTEMBER 2025.

Bangunan enam tingkat KPPK yang dilengkapi dua tingkat bawah tanah yang menggabungkan fungsi praktikal dan nilai warisan termasuk kapasiti parkir yang luas, ruang pejabat dan lantai komersial.

Bukan sekadar pejabat, KPPK juga boleh menjadi ‘tiket’ Perak ke pentas dunia! Seni bina Melayu-Islamnya yang menawan bukan sahaja menarik hati pelancong tempatan, malah berpotensi memikat mata pengunjung antarabangsa. Siapa sangka budaya dan modenisasi boleh berpadu secantik ini?

Agenda negeri dan negara, aspirasi rakyat

Menurut kenyataan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, satu lantai khas akan menempatkan Galeri Warisan untuk tujuan pendidikan dan pemeliharaan budaya. Sangat jelas, hal ini selari dengan “penanda aras baharu” bahawa KPPK adalah simbol kelestarian warisan dalam landskap pembangunan moden. Secara tidak langsung, usaha MAIPk dapat mengembalikan nostalgia seni bina warisan Melayu yang kian terpinggir atau dilupakan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pendekatan ini seiring dengan dasar pembangunan negara dan negeri, khususnya Perak Sejahtera 2030 yang menekankan keseimbangan ekonomi, sosial dan kelestarian budaya. Tambahan pula, penyempurnaan projek menjelang 2028 bertepatan dengan sambutan 500 tahun Kesultanan Perak. Hal ini adalah simbolik bahawa KPPK bukan sekadar bangunan moden tetapi juga lambang penghormatan terhadap sejarah panjang institusi kesultanan Perak.

Selain itu, KPPK juga berpotensi sebagai instrumen cultural diplomacy dalam usaha memperkenalkan seni bina Melayu-Islam kepada dunia. Dalam konteks ini, Perak boleh mencontohi beberapa negara Islam lain seperti Turki dengan Masjid Uthmaniyyah dan Indonesia dengan Masjid Istiqlal yang telah lama menjadikan seni bina warisan sebagai alat diplomasi budaya.

Dengan erti kata lain, KPPK adalah ikon dan medium menarik pelancong antarabangsa dan meningkatkan imej Perak serta membuka peluang kerjasama serantau pembangunan warisan dan pelancongan.

Bahkan Perak yang terkenal dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO di Lenggong menambah keistimewaan sedia ada. Bayangkan satu perjalanan budaya lengkap; dari tapak arkeologi Lenggong yang berusia ribuan tahun ke seni bina Melayu-Islam seperti KPPK. Semua ini boleh menjadi pengalaman unik kepada pelancong dan generasi muda untuk meneroka sejarah Perak dengan lebih efektif.

Selain itu, Perak juga menampilkan lanskap seni bina yang memukau dan pelbagai, daripada keanggunan kubah emas Masjid Ubudiah yang menjulang, lengkungan halus dan ukiran cantik Masjid Cina Tasek, keagungan gaya Mughal Masjid Ipoh Padang, keunikan gabungan Moor India dan neo-klasikal di Muzium Perak, hinggalah kecemerlangan seni bina Mughal UniKL RCMP.

Suasana sekitar Majlis Mula Kerja Pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial MAIPk di Perkarangan Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 SEPTEMBER 2025.

Setiap binaan melakarkan keharmonian tradisi dan fungsi moden yang membentuk kepelbagaian identiti Perak. Gabungan Melayu, Cina, India, kolonial, dan Islam ini bukan sahaja memikat mata pelancong malah menghidupkan naratif warisan inklusif, mengukuhkan jati diri generasi muda dan mengangkat Perak sebagai destinasi budaya yang utama antarabangsa.

Kewujudan KPPK juga menjunjung titah Sultan Perak agar pembangunan negeri berpaksikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian budaya. Hal ini penting bagi menzahirkan falsafah wasatiyyah yang mensyarakan kemajuan yang seimbang antara material dan spiritual. Justeru, KPPK bukan sahaja sebagai identiti baharu Perak malah manifestasi kepada simbol kuasa budaya tempatan yang berdaulat.

Budaya tempatan

Ironinya, KPPK membuktikan bahawa kemajuan tidak harus mengorbankan identiti. Kompleks ini menzahirkan prinsip keseimbangan dan keharmonian antara tradisi dan kemodenan serta menjadi panduan pembangunan kontemporari. Seperti ditegaskan oleh Menteri Besar Perak, setiap inisiatif pembangunan perlu berpaksikan kelestarian budaya agar warisan tidak hilang ditelan arus modenisasi.

Tegasnya, KPPK bukan sahaja sebuah bangunan tetapi lambang warisan dalam kepesatan modenisasi yang menjadi lambang kesinambungan budaya, identiti negeri dan kebanggaan rakyat Perak. Lebih penting lagi, KPPK adalah ikon Perak yang bukan lagi berpaksikan subjek sejarah kolonial, tetapi menjadi pemilik warisan yang berhak menentukan arah pembangunan sendiri, seperti kata pepatah Arab:“warisan adalah jambatan kepada masa depan”.

 

Penulis merupakan Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak

 

Penulis merupakan Pensyarah Unit Pengajian Umum UniKL Royal College of Medicine Perak

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI