KPT jamin siasat segera kes pelajar UMPSA disyaki hina Islam

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan menyelesaikan segera insiden membabitkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam di media sosial, sambil menegaskan tindakan tegas akan diputuskan selepas siasatan polis selesai.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan luar jangka lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Menurut beliau, kerajaan dan KPT tidak akan mengambil mudah isu berkenaan kerana ia disifatkan sebagai serius serta tidak beradab, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Setakat ini, UMPSA sudah membuat laporan dan polis telah menjalankan siasatan terhadap penuntut terbabit. Sebarang tindakan lanjut di peringkat KPT akan diperincikan selepas siasatan selesai.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini dimanipulasi oleh mana-mana pihak sehingga mengeruhkan lagi suasana,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Seorang pelajar UMPSA ditahan polis pagi tadi selepas disyaki memuat naik kandungan menghina Islam di laman sosial.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sejak semalam, tular di media sosial gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran selain tangkap layar hantaran yang didakwa dimuat naik oleh individu berkenaan.

Turut tersebar gambar lelaki terbabit bersama tangkap layar komen yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Mengulas sama ada pelajar itu akan dikenakan tindakan gantung pengajian atau dibuang universiti, Zambry menjelaskan, pihaknya akan menunggu laporan penuh polis sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita akan mendapatkan laporan daripada pihak polis terlebih dahulu untuk mengenal pasti perkara sebenar yang berlaku kerana maklumat yang diterima setakat ini adalah daripada media sosial.

“Justeru, pihak universiti mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI