KPT pandang serius peningkatan kes HIV kalangan mahasiswa IPT

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius dakwaan terdapat peningkatan kes HIV dalam kalangan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini.

Menteri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu merupakan isu yang kompleks dan sensitif serta memerlukan pendekatan yang menyeluruh bagi mengurus dan menanganinya.

“Bagi maksud tersebut, beberapa tindakan telah diambil untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan budaya hidup sihat termasuk pencegahan penyakit yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan seksual serta langkah awal yang boleh diambil bagi pengesanan penyakit kelamin.

“Usaha-usaha yang diambil ini secara tidak langsung dapat memberi maklumat dan kesedaran kepada mahasiswa akan implikasi kesihatan sekiranya mengamalkan gaya hidup atau aktiviti seksual yang berisiko,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PH-Padang Terap) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah-langkah konkrit yang telah dan sedang diambil oleh kementerian bagi menangani peningkatan kes HIV dalam kalangan penuntut IPT khususnya yang berpunca daripada gejala men sex men (MSM).

Sehubungan itu, Zambry berkata, KPT telah melaksanakan pelbagai program berbentuk pencegahan, kesedaran dan intervensi awal yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ilmu berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual.

Ataranya termasuklah melalui pendidikan, advokasi dan kesedaran berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif di universiti awam.

Menurutnya, sepanjang tahun 2022 hingga 2024, program itu melibatkan kira-kira 33,000 mahasiswa dan dilaksanakan dengan kerjasama 60 agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh kesedaran terhadap risiko jangkitan HIV, AIDS dan penyakit kelamin lain.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini merupakan antara usaha KPT dalam menyediakan persekitaran universiti yang sihat dan sejahtera serta membendung pengaruh negatif termasuk gejala seksual songsangdalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan berteraskan pendidikan, bimbingan dan intervensi awal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI