IPOH – Video pendek bertajuk Orang Bukan Dewasa (OBD) Merokok yang dihasilkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung berjaya meraih johan dalam Pertandingan Video sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia peringkat negeri Perak.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKD Manjung, Ahmad Dzulfadzli Mohamad Tarmizi berkata, video berdurasi dua minit itu mengetengahkan mesej kesedaran tentang bahaya merokok, khususnya di kawasan larangan.
“Ia mengisahkan dua remaja berusia 15 tahun yang merokok di kawasan larangan sebelum ditegur seorang lelaki yang menasihati mereka supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut,” katanya.
Dia berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Sri Perdana Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Selasa.
Menurutnya, idea penghasilan video berkenaan tercetus secara spontan ketika dia bersama rakan sekerja sibuk dengan tugasan hakiki.
“Kami merasakan perlunya menghasilkan sesuatu yang mampu memberi semangat serta membawa kelainan dalam menyampaikan mesej kesihatan awam.
“Bagi menjayakan rakaman tersebut, beberapa kakitangan kesihatan turut terlibat sebagai pelakon dan proses penggambaran dijalankan selama dua hari, manakala kerja-kerja penyuntingan mengambil masa antara satu hingga dua minggu,” ujarnya.
Katanya lagi, kemenangan kali ini lebih manis kerana pada tahun 2019, pasukannya hanya mampu meraih tempat ketiga dalam pertandingan sama.
Dalam pada itu, Ahmad Dzulfadzli berkata, selain penghasilan video, PKD Manjung turut merangkul johan bagi Pertandingan Infografik sempena sambutan tersebut.
Katanya, infografik tersebut berkaitan tanggungjawab pemilik bangunan di kawasan larangan merokok yang melibatkan lokasi seperti di kedai makan, dobi, stesen minyak dan kenderaan awam.
“Penghasilan infografik tersebut mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bagi memastikan hasilnya berkualiti serta padat dengan fakta.
“InshaAllah, sekiranya ada rezeki kita akan terus menghasilkan lagi bahan-bahan seumpama ini pada masa hadapan,” jelasnya.
Kemenangan itu melayakkan PKD Manjung memperoleh hadiah RM300 dan RM200 serta sijil penghargaan untuk kedua-dua pertandingan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ketegasan 20 tahun berkhidmat, Rohaliza terima Anugerah Pengeluaran Notis Tertinggi