LUMUT– Isu bekalan air terputus yang membelenggu penduduk di sekitar Pulau Pangkor sejak dua minggu lalu berakhir apabila ia pulih sepenuhnya pada Rabu lalu.
Tinjauan MG Perak di penempatan sekitar pulau bebas cukai itu pada Jumaat mendapati penduduk mula menikmati air bertekanan tinggi yang memudahkan urusan seharian mereka.
Salah seorang penduduk di Teluk Nipah, Siti Balkhis Yusup, 32, sewaktu krisis air berlarutan sepanjang dua minggu lalu mereka terpaksa mengangkut air di sungai berhampiran yang terletak kira-kira dua kilometer daripada kediaman.
“Ketika tiada air memang susah sikit untuk melakukan kerja-kerja harian. Kalau hendak memasak kami terpaksa mengangkut air dan untuk membasuh baju kami perlu pergi ke sungai.
“Alhamdulillah, kini bekalan air sudah pulih. Tekanan air dari paip juga semakin laju. Kami tidak perlu lagi mengangkut air di sungai seperti sebelum ini.
“Pelancong juga tidak perlu risau untuk datang melancong ke Pulau Pangkor kerana masalah air sudah pulih,” katanya.
Sementara itu, Norseha Mhd Napaih, 44, berkata, selepas bekalan air pulih segala rutin harian kembali ke asal.
“Alhamdulillah, orang yang berniaga seperti kami tidak lagi pening kepada seperti sebelum ini kerana perniagaan sudah boleh beroperasi semula,” jelasnya.
Katanya, sebelum ini, memang terdapat masalah untuk mengangkut air terutamanya ibunya yang sudah berusia.
“Sejak dalam minggu ini, sudah ada (air) macam biasa, semua aktiviti harian boleh dilaksanakan dengan lancar,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengusaha inap desa, hotel di Pangkor lega bekalan air pulih