IPOH – Semua ketua setiausaha di setiap kementerian diminta untuk bekerjasama dengan Parlimen bagi melihat kepada usaha pembaharuan terhadap undang-undang sedia ada yang disifatkan lapok.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, usaha itu juga perlu dilibatkan penasihat undang-undang kementerian agar usaha itu dapat dilaksanakan sesuai dengan perkembangan semasa.
“Mungkin ada undang-undang yang sudah lagi tidak sesuai digunapakai ketika ini dan ia perlu dipertingkatkan.
“Misalnya Akta 347 berhubung kuasa dan keistimewaan Majlis Parlimen yang ada beberapa perkara boleh ditambah baik kerana ia tidak pernah dipinda semenjak tahun 1952,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena lawatan kerjanya ke DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Yang Di-Pertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Timbalannya, Jenny Choy Tsi Jen.
Pada masa sama Johari berkata, Parlimen tidak meletakkan tempoh masa berhubung usaha itu kerana ia merupakan proses yang berterusan.
Ujar beliau, langkah berkenaan diambil bagi memastikan setiap undang-undang yang digubal dalam negara dapat berfungsi dengan baik mengikut kepada kehendak semasa.
“Saya sudah minta untuk semua ketua setiausaha kementerian mengadakan perjumpaan dengan kita sekurang-kurangnya tiga kali setahun.
“Usaha ini memberi ruang kepada mereka untuk berhubung terus dengan pejabat saya dalam proses mempercepatkan penambahbaikkan kepada undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Johari memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang perkembangan terkini berhubung tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mahu mengambil tindakan perundangan terhadapnya.
“Bagi saya itu hak mereka dan ia boleh digunakan (tindakan undang-undang), dan berkenaan kenyataan daripada pengerusi BERSATU itu, saya belum terima apa-apa lagi sampai sekarang,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan BERSATU akan melantik peguam bagi membolehkan tindakan perundangan diambil susulan Johari menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang menyokong Kerajaan Perpaduan dikosongkan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Speaker perlu menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan-perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen terbabit adalah Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MG Perak
Artikel Berkaitan: