LUMUT – Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor yang dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bukan sahaja meningkatkan sosio ekonomi penduduk tetapi membantu dalam pemuliharaan sumber alam.
Ini adalah bukti kepada usaha UMT yang menekankan projek pemindahan ilmu yang berteraskan kepada pelaksanaan yang pantas, impak yang tinggi, mampu milik, kebolehpasaran dan paling utama kelestarian bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan.
Untuk rekod, UMT telah lama memulakan usaha untuk mendekati masyarakat tanpa mengira lokasi dan latar belakang, demi memastikan ilmu dapat disebarkan secara meluas kepada semua pihak.
Program yang dilaksanakan di Kampung Tengah, Pulau Pangkor itu telah bermula pada Oktober 2024 melibatkan dana UMT sebanyak RM36,000 dengan memberi manfaat kepada 10 peserta sehingga mampu menjana pendapatan RM2,500 sebulan bagi setiap peserta.
Usaha yang dijalankan universiti terbabit seiring dengan pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, untuk memajukan industri agro pelancongan di negeri ini.
UMT laksana agenda bawa manfaat kepada masyarakat setempat
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program kelulut itu penting menambahkan pendapatan rakyat di Pulau Pangkor yang sebelum ini hanya tertumpu kepada sektor pelancongan.
Menurutnya, program antara universiti dan penduduk setempat akan diteruskan di seluruh negara supaya kepakaran warga akademik diperturunkan kepada rakyat bawahan dan bukan sekadar berada di universiti.
“Kita ingin memanfaatkan ilmu yang ada di menara gading itu dapat diterjemahkan dan dilaksanakan bagi membantu masyarakat dalam usaha termasuklah soal pembasmian kemiskinan atau untuk pembangunan bagi sesuatu kawasan.
“Program ini adalah antara yang terbaik kerana universiti dapat melaksanakan agenda kemasyarakatan mereka serta membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian program Projek Program KTP Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor, UMT di Kampung Tengah, Pangkor, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod dan Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim.
Ujarnya, dalam konteks UMT, mereka mempunyai kepakaran tersendiri kerana setiap universiti di Malaysia kepakaran masing-masing.
“Sebagai contoh, UMT pakar dalam ekonomi biru yang berkaitan dengan industri ataupun perikanan, lautan dan marin. Itu salah satu cabangnya dan kekuatan mereka di situ.
“Pulau Pangkor pula sangat terkait dengan dunia perikanan marin dan dipilih dan tempat lain yang ada kaitan dengan bidang mereka berdasarkan kepakaran mereka,” jelasnya.
Projek rintis libat 10 penduduk, 20 sarang kelulut
Ketua Projek, Profesor Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata, projek ini dijalankan dengan kerjasama universiti bersama komuniti melibatkan 10 orang penduduk tempatan di Pulau Pangkor.
Menurutnya, untuk projek rintis penternakan kelulut ini melibatkan 20 sarang yang bertujuan menjana pendapatan dan meningkatkan sosio ekonomi masyarakat di pulau tersebut.
“Bantuan kewangan yang digunakan untuk menjalankan projek ini adalah daripada dana dalaman UMT dan kita berharap ia boleh dikembangkan dan dimajukan dengan lebih baik pada masa hadapan.
“Antara perancangan yang disusun bagi mengembangkan projek ini adalah kita akan mewujudkan satu galeri kelulut yang mampu menjadi satu lokasi tarikan juga pelancong selain membantu meningkat dan menjana pendapatan penduduk tempatan,“ jelasnya.
Beliau yang juga Profesor Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT menjelaskan, Pulau Pangkor dipilih menjadi lokasi melaksanakan projek tersebut disebabkan ia adalah salah satu destinasi pelancongan terkenal di Malaysia.
“Kita tahu kelulut ini selain daripada boleh mengeluarkan madu, ia juga boleh dijadikan satu tarikan kepada pelancong,“ ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Shamsul Bahri berkata, pihaknya memilih lebah kelulut debagai medium untuk membantu komuniti di pulau tersebut kerana ia mudah untuk diternak, cepat mendatangkan hasil dan hasil diperoleh berulang-ulang.
Madu kelulut makanan sunnah
“Kalau kita lihat, sekarang satu sarang itu boleh menghasilkan lebih kurang setengah kilo madu dan kita boleh jual dalam RM150 sekilogram (kg).
“Jadi dengan 20 sarang yang ada kita jangkakan komuniti di sini akan dapat menghasilkan lebih kurang sembilan hingga 10kg madu sebulan,“ katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai khasiat yang baik dapat dimanfaatkan menerusi pengambilan madu kelulut ini.
“Madu kelulut ini kita tahu ialah makanan sunnah yang disebut dalam Al-Quran dan juga dalam hadis-hadis Nabi Rasulullah SAW.
“Kajian saintifik telah membuktikan madu kelulut ni sebenarnya lebih baik daripada madu lebah dan kalau kita dilihat dalam sarang tadi madu itu disimpan di dalam kantong ataupun tempayan propolis manakala madu lebah disimpan dalam lilin.
“Propolis memang mempunyai banyak khasiat. Apabila bergabung, khasiat propolis itu akan diserap ke dalam madu kelulut dan secara umum ia memang baik untuk kesihatan serta mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi,“ jelasnya.
Tambahnya, susulan kandungan khasiatnya yang tinggi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengiktiraf spesies ini sebagai ‘Superfood’ pertama Malaysia.
Berpeluang dalami ilmu madu kelulut
Sementara itu, peserta, Muhammad Latif Saad, 43, berkata, pelbagai ilmu bermanfaat mengenai kelulut diperoleh sepanjang mengikuti program berkenaan.
Katanya, selepas UMT melawat kampung tersebut, pihaknya menyediakan tempat yang sesuai dan selesa bagi menjalankan penternakan kelulut serta bebas daripada ancaman.
“Alhamdulillah, dalam banyak-banyak kawasan di dalam Pulau Pangkor, Kampung Teluk Raja Bayang, terutamanya Kampung Tengah dilihat lebih sesuai mengikut penilaian pihak UMT. Jadi, mereka memilih kampung ini memulakan projek rintis penternakan kelulut.
“Sebagai peserta, kami diajar tentang habitat kelulut, cara penjagaan dan mengelakkan ancaman serta bagaimana untuk mendapatkan hasil dengan menjaga kualiti madu tersebut. Kami juga telah diajar bagaimana untuk menghasilkan produk lain menggunakan madu kelulut,“ ujarnya.
Idam galeri kelulut
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berkata, mungkin mereka akan menambah 20 koloni baharu bagi memperluaskan lagi ternakan kelulut.
“InsyaALLAH, untuk akan datang, kita akan tambah lagi 20 koloni (sarang). Setakat ini kita telah pun mendapatkan hasil, cuma kita masih lagi di peringkat pemasaran dan pelabelan.
“Mungkin pada masa akan datang, kita akan ada galeri kelulut Madu Raja Bayang. Bila ada galeri, lebih mudah untuk kita pasarkan kita hasil yang diperolehi,“ ujarnya.– MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengusaha, ejen bekerjasama rancak pelancongan Lenggong
VIDEO:
MGPerak: Projek Kelulut Madani Pangkor UMT Bantu Jana Pendaptan, Tingkatkan Pelancongan
MGPerak: Projek Kelulut Madani Pangkor UMT Bantu Jana Pendaptan, Tingkatkan Pelancongan