Kuala Kangsar masih catat bilangan mangsa banjir tertinggi

IPOH – Seramai 1,042 orang daripada 351 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah sekitar Perak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak berkata, daripada jumlah itu, 33 penduduk melibatkan lima keluarga dari Kampung Pulau Misa dalam daerah Perak Tengah ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang.

Menurutnya, daerah Kuala Kangsar mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 728 mangsa daripada 260 keluarga yang masih berlindung di tiga buah PPS.

“PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah menempatkan 187 orang, Dewan Pandak Hamid, PPS Pusat Sehenti Orang Asli Bawong (332) dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT (209).

“Manakala di daerah Kerian, dua PPS iaitu di SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai masih beroperasi yang menempatkan 104 orang mangsa dari 34 keluarga.

“Seramai 74 mangsa banjir dari 19 keluarga pula berlindung di PPS SK Kuala Slim dalam daerah Muallim manakala di daerah Hilir Perak, 103 mangsa dari 33 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Rui dan Sungai Perak di Kuala Kenderong yang terletak di Hulu Perak serta Sungai Bidor di Changkat Jong dalam daerah Hilir Perak telah melepasi paras bahaya.

“Sungai Rui mencatatkan bacaan 116.06 meter (m), Sungai Perak di Kuala Kenderong (111.92 m) dan Sungai Bidor di Changkat Jong (3.76 m),“ jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan, Jalan Pasir Garam – Pulau Tiga dalam daerah Perak Tengah hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Bota Kiri – Jambatan Dato Sagor.

“Jalan Selat Pulau – Pebayan di daerah yang sama ditutup kepada semua kenderaan,“ ujar kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Perak Tengah daerah baharu dilanda banjir di Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI