GERIK – Bermula dengan hanya menjual karipap, donut dan kasturi di kedai makan dalam kampung seorang suri rumah, Shakinah Razali, 45, kini bergelar usahawan kuih-muih sejuk beku menggunakan jenama sendiri.
Menggunakan jenama ‘Kuih Frozen Cik Kinah’ produk yang dihasilkan anak kelahiran Kampung Bongor, Gerik ini mengubah kehidupan dia dan keluarga apabila berjaya menambah pendapatan dan keluar dari kepompong kemiskinan.
Isteri kepada peserta Raja Lawak Sutarmin Tukichan, 51 atau lebih dikenali sebagai Man Belon ini berkata, dia tidak pernah menyangka kebolehannya membuat kuih-muih sejak berusia 14 tahun menjadi punca rezeki mereka sekeluarga selain hasil menoreh getah suaminya.
Menurut Sakinah, dia mempelajari membuat kuih-muih ketika bekerja menjual goreng pisang dengan kakak iparnya pada usia 14 tahun.
“Saya bekerja dengan kakak ipar saya sehingga saya berusia 18 tahun dan kemudian dia memperkenalkan saya dengan suami dan kami mendirikan rumah tangga.
“Tapi selepas berkahwin saya berhenti dari membuat kuih dan berniaga sehinggalah ketika anak ketiga saya berusia lingkungan tiga hingga empat tahun saya mengambil keputusan untuk menjual kuih bagi mencari rezeki lebih,” katanya.
Sakinah berkata, segalanya bermula apabila pemilik kedai makan di kampungnya mempelawa dia menjual kuih-muih untuk sarapan pagi.
“Masa itu saya dan suami duduk di kedai nasi lemak sebelah rumah sahaja untuk sarapan pagi dan pemilik kedai minta saya buat kuih dan letak di kedai makan dia.
“Saya pun setuju untuk jual kuih antaranya karipap, donat dan kasturi. Alhamdulillah hari-hari habis kuih saya dan orang kampung suka sampai ada yang datang rumah tempah untuk majlis,” katanya.
Mula jual kuih sejuk beku sekitar 2018
Shakinah berkata, dia kemudiannya memberanikan diri mencuba untuk menjual kuih-muih sejuk beku sekitar tahun 2018 dan ternyata langkahnya itu membuahkan hasil apabila menerima sambutan luar biasa.
“Bermula kuih-muih sejuk beku ini masa saya buat kuih untuk letak di kedai saya cuba buat lebih sikit dan kemudian bekukan lalu letak dalam peti ais kecil.
“Kemudian saya cuba promosi di Facebook. Alhamdulillah ternyata ada permintaan bila ada permintaan saya rasa seronok jadi buat lebih lagi tanpa berfikir bahawa saya tiada peti ais sejuk beku.
“Sampai satu tahap terlalu banyak tempahan jadi terpaksa angkut kuih yang kami buat tumpang peti ais emak saya. Lalu saya fikir sampai bila nak menumpang peti ais orang,” katanya.
Katanya lagi, dia dan suami kemudiannya berbincang lalu mengambil keputusan membeli sebiji peti ais sejuk beku menggunakan wang yang ada.
“Suami saya kumpul duit hasil menoreh getah dan saya tambah sedikit dengan simpanan hasil jualan maka kami dapat beli peti sejuk beku,” katanya.
Tambahnya, jualan kuih-muih sejuk bekunya mula menjadi popular ketika pandemik Covid-19 di mana tempahan yang diterima terlalu banyak sehingga terpaksa meminta pertolongan anak-anaknya.
“Masa Covid-19 lagi laju jualan kami sebab kedai nasi lemak, kuih tidak boleh buka, saya dan suami tidak cukup tangan memenuhi tempahan samosa, karipap isi kentang, donat dan kasturi.
“Alhamdulillah selepas itu produk ‘Kuih Frozen Cik Kinah’ bertambah kepada tujuh selepas itu iaitu cucur badak, karipap kentang sardin dan vadai,” katanya.
Terima bantuan, bimbingan MAIPk, STeP dan ADUN
Bercerita lanjut, Shakinah berkata, kuih-muih yang dijual dihasilkan secara manual menggunakan tangan termasuklah memotong kentang dan menguli tepung.
Katanya, dia kemudian berfikir alangkah mudah jika mempunyai mesin bagi meringankan bebannya serta menghasilkan lebih banyak kuih dengan lebih cepat.
“Saya buat kuih uli guna tangan sampai satu tahap sakit habis tangan dan kemudian saya fikir kena guna mesin tetapi modal agak tinggi.
“Lepas bincang dengan suami kami putuskan buat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar dan dapatlah RM3,000 dan saya gunakan beli mesin uli tepung serta dapur industri,” katanya.
Beliau berkata, dia kemudiannya mula mencari kursus lain seperti pemasaran produk dan pembungkusan sebelum menemui iklan mengenai bantuan disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Saya cuba isi dan Alhamdulillah lulus dan dipanggil mengikuti kursus tiga hari dua malam di Ipoh. Masa pergi kursus niat saya cuma nak belajar sahaja tidak sangka pula MAIPk sediakan kejutan buat kami.
“Hari terakhir kursus kami diberitahu akan dipantau selama bulan dan diberikan modal serta peralatan. Saya rasa amat seronok dan bersyukurlah. Mula dari itu MAIPk banyak membantu saya hingga berjaya.
“Setiap dua bulan pegawai MAIPk akan datang dan akan tanya apa yang saya perlukan jadi saya beritahu perlu mesin kopek kentang mereka sediakan dan pada masa sama saya kena hantar laporan setiap bulan,” katanya.
Tambahnya lagi, MAIPk turut menyediakan bimbingan dari segi pembungkusan, pemasaran di laman sosial dan membantu menambah baik produknya.
Shakinah berkata, selain MAIPk dia juga turut menerima bimbingan daripada Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (STeP) di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Saya juga menerima bantuan berupa peralatan daripada STeP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, YB (Yang Berhormat) Datuk Salbiah Mohamed. Kedua-dua ini juga banyak membantu saya,” katanya.
Sokongan suami jadi pembakar semangat
Bagi suami Shakinah yang lebih dikenali sebagai Man Belon, usaha gigih isterinya dalam membantunya menambah pendapatan keluarga benar-benar menyentuh hati lelakinya.
Katanya, bagi membalas pengorbanan isterinya itu, dia memberi perhatian penuh dalam membantu meringankan urusan perniagaan pasangan yang dikahwininya lebih 26 tahun itu.
“Alhamdulillah senang cerita sebelum buat frozen kami tiada duit simpanan. Berbeza dahulu makan ringan-ringan sekarang boleh makan berat-berat. Anak hari-hari dapat makan ayam.
“Bila saya tidak menoreh atau ada pengambaran saya akan bantu dia sebab harapan saya satu sahaja bila saya tiada dia boleh jana pendapatan sendiri tanpa perlu bekerja dengan orang,” katanya.
Bagi Shakinah pula, rasa bersyukur itu tidak dapat dia gambarkan kerana mampu mengubah kehidupan keluarga dengan hasil menjual kuih-muih.
“Dulu memang susah, bila ada pendapatan sendiri Alhamdulillah rasa seronok, kena kerja keras kalau nak kesenangan. Kalau kerja lebih, lebihlah kita dapat.
“Allah sudah takdirkan jalan macam ini maka kami teruskan. Alhamdulillah juga saya mendapat sokongan 100 peratus daripada suami yang sentiasa memberi semangat,” katanya.
Kedua-dua pasangan berkenaan turut berkongsi impian untuk memiliki bengkel sendiri agar dapat menghasilkan lebih banyak kuih-muih sejuk beku dan menembusi pasaran luar dari Gerik. -MG Perak
VIDEO:
MGPerak: Duit Jual Getah Sekerap Beli ‘Freezer’ Pemula Kejayaan ‘Kuih Forzen Cik Kinnah’