Kumpulan Rebana Seri Dusun angkat Rebana Perak

DIKAITKAN dengan alat muzik berasal dari negara Arab, Rebana Perak masih menjadi hiburan masyarakat negeri ini terutamanya semasa majlis perkahwinan dan keraian.

Maka tidak hairanlah jika jumlah kumpulan Rebana Perak di negeri ini masih banyak memandangkan masyarakatnya mengambil cakna mengenai alat muzik tradisional yang menjadi hiburan sejak zaman turun-temurun.

Salah sebuah kumpulan yang memartabatkan Rebana Perak adalah Kumpulan Rebana Seri Dusun yang dianggotai seramai 22 orang terdiri daripada generasi muda hingga ke tua.

Ditubuhkan pada 22 Julai 2024, Kumpulan Rebana Seri Dusun bukan sahaja terdiri daripada kaum lelaki malah juga golongan wanita terutamanya suri rumah sekitar Mukim Layang-Layang Kiri, Parit.

Paluan rebana kumpulan Rebana Seri Dusun di Layang-Layang Kiri, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JUN 2025.

Biarpun hampir setahun ditubuhkan Kumpulan Rebana Seri Dusun semakin dikenali ekoran bukan sekadar diundang ke majlis atau keraian di kampung malah di program besar melibatkan orang kenamaan.

Lebih manis kumpulan ini diberi peluang membuat persembahan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Kaum ibu suara hasrat mahu belajar Rebana Perak

Bagi Pengerusi Persatuan Rebana Seri Dusun, Mohamad Aidil Fiqri Arif, idea menubuhkan kumpulan rebana disuarakan sendiri oleh ahli kariah Surau Ihsaniah, Kampung Dusun Hilir, Layang-Layang Kiri, Parit.

“Kaum-kaum ibu di surau ini menyuarakan minat mereka untuk belajar bermain Rebana Perak dan meminta saya untuk buka kelas bagi mengajar mereka.

“Jadi bermula dari situlah tertubuhnya Kumpulan Rebana Seri Dusun ini yang mana sekarang mempunyai 22 ahli termasuk saya dan tiga lagi sahabat saya yang memang bergiat aktif dalam Rebana Perak,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Pengerusi Persatuan Rebana Seri Dusun, Mohamad Aidil Fiqri Arif (tengah) mengetuai paluan rebana kumpulannya di Layang-Layang Kiri, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JUN 2025.

Aidil Fiqri berkata, Rebana Perak yang merupakan warisan datuk dan nenek terdahulu kebiasaannya di mainkan dalam kumpulan kecil seramai lapan hingga 10 ahli atau kumpulan besar 18 hingga 20 ahli.

Katanya, justeru itu, penubuhan Kumpulan Rebana Seri Dusun bukan sekadar memenuhi masa lapang suri rumah di kampung berkenaan sebaliknya turut mengangkat martabat Rebana Perak agar diketahui generasi kini.

Setiap daerah miliki kumpulan dengan cara tersendiri

Ditanya mengenai sejarah Rebana Perak, Aidil Fiqri berkata, ia dikatakan berasal daripada tanah Arab dan kemudian dibawa dan disebarkan sehingga ke negeri ini melalui pesisir Sungai Perak.

Beliau berkata, meskipun Rebana Perak tersebar setiap pelosok negeri ini ia masih mempunyai kelainan setiap daerah dari segi pembawakan, paluan dan juga lagu-lagu zikir yang didendangkan.

Kumpulan Rebana Seri Dusun bukan sahaja terdiri daripada kaum lelaki malah juga golongan wanita terutamanya suri rumah sekitar Mukim Layang-Layang Kiri, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JUN 2025.

“Pasukan rebana di setiap daerah mempunyai kelaian masing-masing. Misalnya daerah Kuala Kangsar lain pembawakannya, pukulannya. Perak Tengah lain dan begitu juga Hilir Perak dengan cara tersendiri.

“Meskipun terdapat perbezaan namun alat yang digunakan masih sama iaitu Rebana Perak yang kebiasaannya dibuat menggunakan kayu halban dan kulit lembu atau kerbau,” katanya.

Aidil Fiqri berkata, lagu yang dimainkan Kumpulan Rebana Seri Dusun bukan sahaja berdasarkan kitab berzanji dan lagu-lagu arab malah juga lagu klasik dan moden.

“Buat masa ini kami boleh mainkan 40 buah lagu dan boleh dikatakan kami memecah tradisi sebab turut memainkan lagu-lagu moden dalam usaha menarik golongan muda.

Kumpulan Rebana Seri Dusun bukan sahaja terdiri daripada kaum lelaki malah juga golongan wanita terutamanya suri rumah sekitar Mukim Layang-Layang Kiri, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JUN 2025.

“Kebiasaan lagu klasik dan moden ini kami mainkan di majlis perkahwinan antaranya Selamat Pengantin Baru dan Lemak Manis, manakala lagu berunsur agama di majlis keraian,” katanya.

Mahu generasi muda menjadi pelapis Rebana Perak

Berkongsi harapannya, Aidil Fiqri berkata, dia mahu Kumpulan Rebana Seri Dusun terus dikenali bukan hanya melalui persembahan mereka malah dalam usaha memartabatkan serta mengekalkan warisan Rebana Perak.

Katanya, dia juga dalam usaha menjadikan kumpulan berkenaan sebagai sebuah persatuan selari dengan usaha merancakkan lagi kegiatan Rebana Perak di negeri ini.

Kumpulan Rebana Seri Dusun bukan sahaja terdiri daripada kaum lelaki malah juga golongan wanita terutamanya suri rumah sekitar Mukim Layang-Layang Kiri, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 JUN 2025.

“Impian kami adalah bukan sekadar mahu bergelar jaguh kampung tetapi mahu Kumpulan Rebana Seri Dusun dikenali seluruh negara termasuklah membuat persembahan di luar negara,” katanya.

Beliau juga turut berharap agar lebih ramai generasi muda mengambil usaha mempelajari kaedah bermain Rebana Perak agar dapat menjadi pelapis masa hadapan.

“Macam saya main rebana dari kecil dan saya merupakan generasi kelima bermain rebana dalam keluarga dan saya bangga dapat mengekalkan tradisi orang Perak.

“Kepada mereka di luar sana jangan malu untuk mempelajari warisan kita tidak kira lelaki, perempuan, kaum ibu, semua boleh mempelajari Rebana Perak,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI