BAGAN DATUK – Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak, Ir. Dr. Asnor Muizan Ishak memaklumkan Operasi kunci air dan rumah pam di Rungkup disahkan masih beroperasi.
Menurut Asnor Muizan, bagaimanapun berlaku kegagalan sementara fungsi pintu kunci air di Tebuk Semani disebabkan mendapan selut sebelum ini ekoran hujan ekstrem yang melanda daerah itu pada akhir November lalu sehingga mengakibatkan kejadian banjir genang.
Beliau berkata, perkara berkenaan tidak dipandang enteng JPS malah tindakan segera telah diambil dengan menempatkan dua unit pam air bergerak bagi memastikan air dapat dialir keluar.
“Pintu air ini (Tebuk Semani) tidak berfungsi untuk sementara waktu disebabkan selut. Namun kita sudah korek selut ini cuma ia akan datang kembali dalam tempoh tiga bulan.

“Kesukaran yang dihadapi pihak JPS adalah bila kita sudah korek ia akan datang semula disebabkan faktor cuaca selain selut ini turut bergerak mengikut aliran air pasang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak berkenaan Isu Banjir Termenung Daerah Bagan Datuk di Kunci Air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Tebuk Semani Rungkup, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Exco Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Mengulas lanjut, Asnor Muizan berkata, beliau yakin Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk yang dijadualkan bermula tahun hadapan mampu menjadi penyelesaian jangka panjang bagi masalah banjir di kawasan berkenaan.

Menurutnya, proses pelantikan kontraktor projek tersebut terpaksa ditangguhkan susulan isu berkaitan jajaran projek yang memerlukan penilaian serta reka bentuk semula sebelum ia diiklankan dan ditender semula.
“Sepatutnya pelantikan dibuat sekitar Oktober dan November lalu, namun disebabkan beberapa perkara, kita perlu menilai semula jajaran tersebut. Pelantikan dijangka dibuat pada Julai tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Asnor Muizan berkata, untuk rekod sebanyak 34 kunci air di Bagan Datuk, melibatkan 24 unit di bahagian utara dan 10 unit di bahagian selatan dikendalikan JPS.
Katanya, selain itu terdapat 18 rumah pam aktif yang digunakan bagi mengawal paras air serta mempercepatkan aliran keluar air dari kawasan rendah. -MG Perak


