Kuota PLKN ditingkatkan, semakan status hari ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan kuota pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 yang akan berlangsung selama 45 hari bermula 25 April hingga 8 Jun ini, susulan penggunaan Kem MALBATT Village di Port Dickson yang mampu menempatkan sehingga 600 pelatih.

Ketua Pengarah JLKN, Ya’cob Samiran berkata, sebelum ini program berkenaan hanya menggunakan dua kem iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan.

Menurutnya, pelatih bagi Siri 2/2026 yang melibatkan individu kelahiran tahun 2008 boleh membuat semakan melalui Sistem ePLKN 3.0 di pautan https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form bermula pukul 1 tengah hari, hari ini.

“Tarikh akhir bagi pengesahan maklum balas tawaran atau kehadiran ditetapkan pada Jumaat, 3 April ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain tiga kem yang akan digunakan, pembukaan kem baharu akan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan fasiliti dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Tambahnya, berdasarkan perancangan kuota semasa, penggunaan MALBATT Village sebagai fasiliti sementara bagi siri 2/2026 akan menempatkan 350 pelatih lelaki dan 250 pelatih wanita.

Ya’cob menjelaskan, walaupun pelatih lelaki dan wanita ditempatkan dalam kawasan kem yang sama, pelaksanaan latihan tetap mengekalkan pengasingan sepenuhnya mengikut kompeni termasuk kawasan penginapan, aktiviti latihan serta pergerakan harian sepanjang program berlangsung.

“JLKN memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelatih sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh latihan selama 45 hari dijalankan di kem ini.

“Penambahan kuota ini membuka peluang kepada lebih ramai belia untuk menyertai PLKN 3.0.

“Usaha ini sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam merealisasikan objektif PLKN 3.0 untuk membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri, patriotik, bersatu padu serta membudayakan semangat kesukarelawanan yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI