TELUK INTAN – Kementerian Kewangan (MoF) melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta untuk meneliti cadangan menetapkan nilai siling bagi cukai yang dikenakan bagi perbelanjaan mesyuarat agung pertubuhan koperasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pengecualian cukai itu sebelum ini telah dibahas serta dibincangkan pada Kongres Koperasi Kebangsaan Julai lalu.
Menurut beliau, pihaknya juga telah menyatakan pandangan serta pendirian kepada LHDN semasa menyampaikan replika cek pembayaran cukai Kumpulan Amanah Koperasi baru-baru ini.
“Pendirian saya konsisten dengan keperluan koperasi yang saya lihat ketika ini, kalau bukan keseluruhan perbelanjaan mesyuarat agung itu sekurang-kurangnya siling tertentu yang boleh dikecualikan daripada dikenakan cukai.
“Meskipun perkara ini masih dibincangkan di peringkat Suruhanjaya Koperasi (SKM) dan LHDN saya tetap mengangkat cadangan ini di mana pada masa sama mengambil kira keperluan penjanaan hasil kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Ladang Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) dan Perasmian De 1 MOCCIS Banquet Hall di De MOCCIS Lake Resort, di sini, pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh.
Ewon berkata, selain membayar cukai kepada negara melalui LHDN pertubuhan koperasi juga perlu membayar caruman kepada Kumpulan Wang Amanah yang digunakan untuk membantu pendidikan dan pembangunan gerakan koperasi.
“Selaku menteri yang bertanggungjawab menyelia dan membangunkan gerakan koperasi, kita perlu mengambil kira cabaran yang dihadapi koperasi sendiri dengan keperluan dalam pentadbiran kerajaan terutamanya penjanaan hasil.
“Jadi saya fikir sesuai untuk diambil kira keperluan mewujudkan satu siling tertentu, jumlah tidak boleh saya nyatakan tetapi mungkin ada satu jumlah yang boleh diambil sebagai siling,” katanya.
Artikel Berkaitan:
MCA Perak minta MBI turunkan kadar cukai