Kutipan derma tanah wakaf Masjid Ar-Ridzuan ditutup secara rasmi

IPOH – Kutipan dana bagi tujuan pembelian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu akan ditutup secara rasmi tepat jam 12 tengah malam ini.

Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusop Majid memaklumkan perkara itu menerusi siaran langsung di akaun Facebook masjid berkenaan sekitar jam 8 malam tadi.

Menurutnya, kutipan itu dihentikan selepas pihak masjid menerima dana melebihi sasaran asal iaitu RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah berkenaan bagi urusan jual beli.

Tambah beliau, sekiranya masih terdapat wang yang masuk ke dalam akaun tersebut, ia akan dikira sebagai wakaf am pembangunan masjid.

“Syukur Alhamdulillah, selepas 36 jam tersebarnya berita bahawa masjid ini memerlukan bantuan sehingga malam semalam, sekitar jam 9 malam, 7 Mei, dimaklumkan jumlah sumbangan telah mencecah lebih RM1.9 juta

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua individu yang terlibat kerana turut sama membantu dan menjayakan usaha murni dan mulia ini.

“Berikutan telah tercapai jumlah dalam usaha ini, dengan ini saya umumkan penutupan sumbangan melalui akaun bank Masjid Jamek Ar Ridzuan khususnya melalui media sosial dan online (dalam talian) bagi tujuan pembelian tanah ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah malam ini,” jelasnya.

Pada 5 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengedarkan surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat di Perak bertajuk ‘Selamatkan Masjid Jamek Ar Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai’.

Menerusi surat tersebut JAIPk menyarankan supaya masjid-masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) menyediakan tabung khas untuk kutipan pada 9 dan 16 Mei 2025 (Jumaat).

Perak melaksanakan kutipan derma solat Jumaat di negeri ini bagi menebus semula tanah masjid tersebut bernilai RM1.8 juta yang pada awalnya diwakafkan kepada masjid tetapi telah dijual kepada pembeli bukan Islam pada tahun 2012. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MAIPk sedia bantu urusan pemilikan tanah Masjid Ar-Ridzuan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI