Kutipan zakat perak meningkat 858 peratus dalam tempoh 20 tahun

IPOH – Kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2024 meningkat sehingga 858 peratus berbanding 20 tahun yang lalu.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, selepas 55 tahun penubuhan, MAIPk telah merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori, merangkumi harta dan fitrah, berjumlah RM26.3 juta pada tahun 2004.

“Alhamdulillah, pada tahun 2024, MAIPk merekodkan kutipan zakat berjumlah RM253,020,010 meningkat 858 peratus dalam tempoh 20 tahun terakhir,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) di Pusat Zakat Perak Al-Ridzuan di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

ZAPAR adalah sebuah entiti korporat milik penuh MAIPk yang ditubuhkan bagi mempertingkat kecekapan kutipan dan memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, Sultan Nazrin bertitah, kutipan zakat yang semakin meningkat dipengaruhi oleh enam faktor, iaitu kesedaran, fahaman dan penghayatan umat Islam terhadap perintah dan hukum yang mewajibkan zakat.

“Pendapatan umat Islam secara perseorangan begitu juga secara perniagaan dan tanaman yang meningkat serta insentif kerajaan memberi rebat cukai pendapatan dan potongan cukai keuntungan perniagaan kepada individu dan institusi yang membayar zakat.

“Perkara itu turut termasuk pengenalan wakalah, penambahbaikan pengurusan zakat dan keyakinan umat Islam untuk menunaikan zakat melalui MAIPk,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, Islam turut menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan dan kuasa.

Titah baginda, pengurusan zakat perlu ditingkatkan melalui tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti.

“Abu Humaid Ibn Sa’ad As-Saidi meriwayatkan peristiwa antara Rasulullah SAW dengan Al-Lutabiyyah yang diberikan hadiah ketika menjalankan tugas memungut zakat.

“Pemberian sedemikian diragukan, dikhuatiri terkandung elemen rasuah, lalu menasihati Al-Lutabiyyah menyerahkan kembali hadiah tersebut kepada pemberinya

“Jadikan kisah Al-Lutabiyyah sebagai pedoman dan tanda aras etika kerja yang amanah, telus dan berintegriti dalam kalangan warga kerja Pusat Zakat,” titah baginda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin lancar ZAPAR, tingkat kecekapan tadbir urus zakat di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI