KWSP umum dividen 6.15% bagi simpanan konvensional, syariah tahun 2025

SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen lebih rendah iaitu 6.15 peratus untuk kedua-dua simpanan konvensional dan syariah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ia melibatkan jumlah agihan bagi simpanan Konvensional berjumlah RM67.1 bilion dan RM12.5 billion untuk syariah.

“Keseluruhan jumlah agihan pendapatan KWSP bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM79.6 bilion,” katanya pada sesi Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini hari ini.

Berbanding tahun 2024, KWSP memberikan dividen 6.3 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah melibatkan jumlah agihan keseluruhan RM73.24 bilion.

Menurut Ahmad Zulqarnain, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada tahun 2025 dengan menjana RM50.7 bilion, atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Katanya, jumlah itu mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada tahun 2024, manakala pulangan pelaburan (ROl) sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan.

Sementara itu, tambahnya, instrumen pendapatan tetap, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, mengukuhkan portfolio KWSP dengan aliran pendapatan yang stabil, menyumbang sebanyak RM26.3 bíllon, atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Ujarnya, sektor hartanah dan infrastruktur menjana pendapatan sebanyak RM1.6 bilion dengan ROl sebanyak 4.8 peratus berdasarkan mata wang tetap, manakala instrumen Pasaran Wang menyumbang RM0.6 bilion dengan ROl sebanyak 1.6 peratus.

“Memandangkan sebahagian besar pelaburan ini didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, prestasinya turut dipengaruhi oleh kadar pertukaran asing apabila ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Pengkreditan dividen bagi kedua-dua simpanan konvensional dan shariah akan selesai esok, dan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI