Labur RM40 juta dalam projek iklan digital di Perak

IPOH- Kerajaan Negeri Perak menerima pelaburan bernilai RM40 juta melalui perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) hasil kerjasama strategik bersama Yayasan Perak dengan LG Electronics (M) Sdn Bhd dan Syarikat MZK Resources.

Ia merupakan pelaburan pertama syarikat LG Electronics di Perak bagi projek pembinaan infrastruktur yang berkaitan papan pengiklanan digital berteknologi terkini di Perak.

Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, MoU tersebut bakal menyediakan sekitar 200 peluang pekerjaan berkemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional di negeri ini.

“Kerjasama ini berjaya membawa pelaburan ke Perak dan sekali gus memberi manfaat kepada sosioekonomi dalam meningkatkan kebolehpasaran perniagaan melalui pengiklanan secara digital seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

“Selain itu, kerjasama ini turut membawa inovasi baru kepada teknologi papan pengiklanan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan bagi kemahiran teknikal dan vokasional di Negeri Perak,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Perak, LG Electronics (M) Sdn Bhd dan MZK Resources Sdn Bhd di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Menurut Nasreen, sepuluh lokasi strategik telah dikenalpasti bagi pengiklanan digital fasa pertama terutama di Ipoh.

“Pengiklanan digital sekaligus dapat menarik perhatian masyarakat setempat dan juga pelancong bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2024 di mana platform tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk sebarang perkongsian maklumat, hebahan serta maklumat berkenaan Negeri Perak.

“Kerjasama ini turut dapat meningkatkan kemahiran anak tempatan melalui pemindahan teknologi dan perkongsian tenaga pakar, malah dapat merancakkan perkembangan ekonomi negeri dengan publisiti dan penyaluran maklumat yang lebih efisien,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan LG Electronics (M) Justin Cooi berharap agar projek tersebut dapat membantu mempromosikan kegiatan ekonomi negeri, produk-produk tempatan serta hebahan aspirasi dan fokus negeri dengan lebih luas.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkenaan turut dihadiri dan disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi . – MG Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI