IPOH – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Cawangan Negeri Perak berharap Enakmen Peguam Syarie Negeri Perak dilaksanakan segera bagi mengelakkan kewujudan pihak tidak bertauliah seperti ‘coach cerai’ yang boleh menjejaskan kredibiliti peguam syarie.
Pengerusi PGSM Cawangan Negeri Perak, Adham Jamalullail Ibrahim berkata, usaha penggubalan enakmen itu telah bermula sejak tahun 2022 dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSP).
“Dalam konteks negeri Perak ini, kita telah bermula sejak 2022 dan sekarang telah 2026. Kita nampaknya agak terlewat dalam mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan seterusnya akan dibawa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
“Mengikut jadual, sepatutnya akan dibentangkan di DUN Perak pada tahun lalu tetapi tertangguh sehingga ke hari ini dan kita tak pasti bila perkara ini akan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Perak 2026 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.
Dalam pada itu, Adham Jamalullail menegaskan bahawa dari sudut undang-undang, setiap peguam bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes yang dikendalikan dan enakmen berkenaan bukan bertujuan menyekat amalan guaman, sebaliknya memberikan implikasi undang-undang yang jelas kepada individu yang menjalankan tugas peguam tanpa kelayakan.
“Dengan adanya enakmen ini, kita berharap isu-isu seperti yang berlaku di Johor berkaitan kartel hibah tidak akan berlaku di Perak kerana sudah ada undang-undang khusus sebagai panduan kepada peguam,” ujarnya.
Beliau juga berharap dengan penguatkuasaan enakmen tersebut, pihak-pihak tidak bertauliah ini dapat disekat daripada mengeluarkan kenyataan atau memberikan khidmat nasihat perundangan yang mengelirukan masyarakat.
“Ini adalah usaha yang baik dan kita berdoa supaya ia dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan keadilan dan kemaslahatan umat Islam di negeri Perak,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Fenomena `Coach Cerai’ rendahkan martabat institusi perkahwinan


