Laluan sehala: KKR perhalus cadangan lebar jambatan di Tapah

TAPAH – Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia untuk memperhalus cadangan pelebaran Jambatan Sungai Batang Padang sebagai sebahagian daripada penambahbaikan kepada penyuraian trafik laluan sehala di Pekan Tapah.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia selepas pihaknya menerima cadangan pelebaran jambatan sepanjang 54.52 meter itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang.

“Saya difahamkan sekiranya ada pertambahan satu lagi laluan di jambatan berkenaan maka ia memerlukan peruntukan tambahan RM15 juta.

“Dan untuk hal ini, ia perlu diangkat oleh Kerajaan Negeri Perak kepada KKR untuk kami menilai sebelum diusulkan kepada Kementerian Kewangan atau Kementerian Ekonomi untuk tindakan lanjut,” katanya.

pelebaran Jambatan Batang Padang Tapah laluan sehala Tapah projek penyuraian trafik Tapah projek jambatan Tapah KKR perhalusi cadangan Jambatan Sungai Batang Padang projek WISE Perak
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media ketika melakukan tinjauan Projek Penyuraian Trafik Laluan Sehala Jalan Besar Tapah – Kampar di Tapah, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 MEI 2025.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan Projek Penyuraian Trafik Laluan Sehala di Pekan Tapah, pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng serta ADUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Sebelum ini Kerajaan Perak mengumumkan pelaksanaan kaedah penyuraian trafik membabitkan kaedah laluan sehala tanpa lampu isyarat di Pekan Tapah sebagai kaedah mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

Ia membabitkan dua fasa dengan fasa pertama melibatkan kos sebanyak RM2.2 juta daripada peruntukan Persekutuan, sementara fasa kedua menelan belanja RM17 juta daripada peruntukan pembangunan negeri.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, walaupun pihaknya bersedia mengkaji cadangan pelebaran Jambatan Sungai Batang Padang, ia tetap perlu dilihat daripada pelbagai sudut termasuk tahap keperluan projek berkenaan kepada rakyat.

“Di peringkat kementerian, kita menerima pelbagai cadangan projek daripada semua negeri. Oleh itu, kita akan menilai projek mana yang perlu diberi keutamaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nanta turut ditanya mengenai perkembangan terkini Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar.

Menurut beliau, KKR telah meminta syarikat konsesi terbabit supaya segera melaksanakan kerja-kerja awal projek lebuh raya itu termasuk pengurusan kewangan dan hak milik tanah.

“Kita sudah beri surat kelulusan kepada syarikat berkenaan memulakan projek lebuh raya WISE, dan mereka perlu selesaikannya dalam tempoh dua tahun,” kata Nanta. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Laluan sehala Tapah lancarkan aliran trafik waktu puncak, pendekkan masa menunggu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI