TAPAH – Kerajaan Negeri Perak sedang merangka pelan mitigasi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung sistem laluan sehala di pekan Tapah, dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia termasuk mewujudkan situasi menang-menang antara pihak autoriti dengan penjaja yang mendakwa terjejas ekoran pelaksanaan sistem itu sejak 23 Ogos lalu.
Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pertemuan bersama persatuan penjaja di Tapah pada Isnin.
“Kita mengakui bahawa persatuan penjaja ada berjumpa saya mengadu bahawa terdapat ahli-ahli yang terkesan, kerana jalan tersebut menyebabkan kereta tidak lagi dapat singgah dan oleh itu, jualan mereka agak terkesan.
“(Susulan perjumpaan semalam) pagi tadi, saya bersama-sama persatuan berkenaan telah pergi meninjau ke tapak perniagaan baru yang dirasakan seusai untuk menempatkan mereka semula di situ. Persatuan juga setuju kepada cadangan itu.
“Walau bagaimanapun, kita sedang menunggu laporan penuh daripada Pejabat Daerah Dan Tanah Batang Padang untuk melihat status dan kos pembangunan di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program KPKM Inc dan Riang Ria Raya Promosi Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Negeri Perak di Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang, dekat sini, pada Selasa
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengarah Pertanian Negeri, Norsiyenti Othman.
Mengulas lanjut Saarani berkata, bagaimanapun beliau akan memaklumkan lebih lanjut berhubung penyelesaian kepada perkara berbangkit ekoran sistem laluan sehala di pekan Tapah dalam masa terdekat.
Jelas beliau, antara yang diutarakan kepada kerajaan negeri berhubung isu itu termasuk cadangan mewujudkan jalan pintas ke Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta meningkatkan keselamatan jalan raya di laluan berhampiran sekolah.
“Sistem jalan itu akan siap pada 30 April, dan kita tidak dapat menarik balik kaedah berkenaan kerana ia adakah langkah penyuraian trafik (yang dicadang dan dilaksanakan di pekan Tapah).
“Hasil maklumat juga kita mendapati peniaga-peniaga kedai di premis di pekan berkenaan tidak terjejas kerana kereta masih boleh berhenti (meletakkan kenderaan untuk singgah ke kedai),” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan orang ramai memberi pelbagai reaksi berhubung sistem laluan sehala yang dilaksanakan di pekan Tapah bermula 23 Ogos.
Difahamkan, langkah penyuraian trafik di laluan sepanjang 1.2 kilometer (km) tanpa penggunaan lampu isyarat itu sebagai usaha mengatasi kesesakan lalu lintas di pekan Tapah terutama pada waktu puncak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sistem laluan sehala di Tapah: Keluhan peniaga diambil perhatian