Laluan sehala Tapah: Perak kenal pasti lokasi penempatan semula penjaja

IPOH – Golongan peniaga dan penjaja yang terlibatkan dengan isu penyuraian trafik di pekan Tapah mendapat khabar gembira apabila Kerajaan Negeri Perak setuju untuk menempatkan semula mereka ke lokasi baharu yang lebih strategik.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu susulan pertemuan antara kerajaan negeri dengan persatuan peniaga pada 24 Mac lalu.

“Namun begitu beberapa proses pentadbiran dan isu pemilikan masih perlu dilaksanakan sebelum lokasi tersebut dapat dimuktamadkan. Cadangan tersebut disambut baik oleh persatuan peniaga.

“Sesi perbincangan dan libat urus akan dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan negeri serta Persekutuan agar segala permasalahan yang timbul dapat ditangani secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Penempatan semula penjaja Tapah penyuraian trafik Penyuraian trafik Tapah Laluan sehala Tapah Lokasi baharu penjaja Tapah Projek infrastruktur Perak Peniaga kecil dan penjaja Perak Keselamatan dan trafik Tapah saarani kerajaan negeri perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengadakan sidang media berhubung pelaksanaan sistem penyuraian trafik laluan sehala pekan Tapah di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 MAC 2025.

Mengulas lanjut Saarani memberitahu, lokasi dikenal pasti terletak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah itu merupakan kawasan menempatkan kenderaan-kenderaan awam yang terbabit kemalangan selain ia dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, hasil perbincangan, pihak polis bersetuju untuk kerajaan negeri menyediakan satu kawasan khusus untuk ditukar ganti tapak berkenaan.

“Masing-masing telah bersetuju dan kita juga telah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk ditukar ganti bagi lokasi pihak polis menempatkan kenderaan awam yang terlibat kemalangan.

“Usaha ini secara tidak langsung akan mengindahkan lagi pemandangan di pekan Tapah. Malah lokasi itu strategik bagi penjaja kerana kawasan lebih luas dan mudah untuk orang awam meletakkan kenderaan,” jelasnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan kaedah penyuraian trafik melalui sistem laluan sehala di pekan Tapah mengundang pelbagai reaksi umum daripada peniaga, penjaja serta penduduk setempat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang melancarkan sistem jalan sehala melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Majlis di pekan Tapah dengan dua lampu isyarat ditutup bagi melancarkan aliran trafik bermula 23 Ogos 2024.

Sementara itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Batang Padang menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menempatkan semula ahli yang terkesan dengan kaedah penyuraian trafik ke lokasi baharu.

Pengerusinya Abdul Rashid Osman ketika dihubungi berkata, selama ini memang peniaga inginkan dataran penjaja seperti di tempat lain dan akhirnya impian bakal terlaksana.

“Kami gembira apabila Menteri Besar Perak umumkan tapak yang kita cadangkan itu, sebab di Tapah memang tidak banyak kawasan yang boleh dijadikan tapak niaga.

“Menteri besar (Saarani) memang menyokong peniaga kecil, malah sebelum menjadi menteri besar pun, beliau sudah memperjuangkan kepentingan penjaja,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penambahbaikan laluan sehala di Tapah dijangka siap 30 April

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI