IPOH – Sempena sambutan Thaipusam, beberapa laluan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula 10 hingga 13 Februari depan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan penutupan jalan dilakukan selama empat hari bagi melancarkan perarakan pedati dan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh.
Menurutnya, laluan yang terlibat adalah Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusuf, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana, Jalan Dato’ Onn Jaafar, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Dato’ Ahmad Said dan Bulatan Sultan Iskandar.
“Perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar akan bermula pada Isnin jam 6 pagi hingga 12 tengah hari manakala perarakan balik akan bermula pada Rabu jam 5 petang dan dijangka selesai sekitar jam 12 tengah hari (Khamis),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan perarakan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar akan bermula pada Isnin jam 3 petang sehingga 12 tengah malam (Selasa) dan bersambung pada 7 pagi Selasa sehingga jam 2 pagi Rabu.
“Jalan yang akan terlibat adalah Jalan Tun Perak, Jalan Lahat,Jalan Sultan Yusuf, Jalan Sultan Idris Shah Jalan Dato’ Onn Jaafar dan Jalan Raja Musa Aziz,” ujarnya.
Beliau berkata, kehadiran pengunjung dijangka mencecah 500,000 orang sepanjang empat hari sambutan Thaipusam berlangsung di sini.
“Justeru, kami menasihatkan pengguna jalan raya di sekitar bandar raya ipoh supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan serta mengurangkan kesesakan.
“Antara jalan alternatif yang boleh digunakan untuk pergerakan kenderaan ke arah pusat bandar adalah Jalan Kuala Kangsar, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Raja Dihilir, Jalan C.M. Yusuf, Jalan Yang Kalsom, Jalan Sultan Abdul Jalil Dan Jalan Dato Ahmad Said,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena perarakan Cap Goh Meh Rabu depan