Lama-lama Petronas jadi lembaga zakat kerajaan, bukan syarikat minyak negara – Hamzah

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan kebergantungan kronik kerajaan terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam merangka Belanjawan 2026.

Menyifatkan ia sebagai kelemahan asas hasil negara, Hamzah (PN-Larut) berkata, bagi tahun 2026 sahaja, kerajaan terus bergantung dengan bayaran dividen sebanyak RM20 bilion daripada Petronas.

Selain itu, menurut beliau, Petronas juga membiayai projek Bandar Madani berjumlah RM4 bilion, selain RM12 bilion bagi transaksi Bandar Malaysia.

“Persoalannya sampai bila? Sudah berapa kali saya bangkitkan, jangan kita sembelih angsa yang sekarang ini membantu mengeluarkan telur-telur emas untuk rakyat.

“Adakah ini sumber hasil yang mapan atau sekadar suntikan sementara untuk menutup defisit?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Hamzah, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada dividen Petronas setiap kali kekurangan dana.

Tegas beliau, Petronas bukan tabung kecemasan kerajaan, sebaliknya merupakan syarikat strategik yang sepatutnya melabur untuk masa depan negara.

“Jika setiap tahun hasil Petronas digunakan untuk menampung operasi kerajaan, maka tidak lama lagi Petronas akan menjadi lembaga zakat kepada kerajaan, bukan syarikat minyak negara,” katanya.

Tambah Hamzah, Perikatan Nasional (PN) berpendirian hasil negara mesti datang daripada aktiviti ekonomi sebenar iaitu pelaburan, inovasi dan produktiviti, bukan daripada memerah syarikat milik negara.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan hala tuju institusi pelaburan kerajaan atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam Belanjawan 2026 seolah-olah menyimpang apabila digunakan bukan untuk pelaburan strategik, tetapi bagi tujuan lain.

Sebagai contoh, katanya, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kini terlibat dalam dana pelaburan bersama bernilai RM1.2 bilion untuk syarikat ‘sedang berkembang’.

Sedangkan, tegasnya, KWAP ialah sebuah badan yang menguruskan dana persaraan awam melebihi RM158 bilion, sekali gus tidak sepatutnya berperanan seperti venture capital.

“KWAP tidak boleh terdedah kepada pelaburan risiko tinggi yang tidak menjamin pulangan jangka panjang, hasil pelaburan bersama syarikat yang masih belum stabil,” katanya.

Begitu juga, tambah Hamzah, syarikat Khazanah Nasional Berhad yang tidak sepatutnya terlibat dalam projek pengubahsuaian Carcosa Seri Negara bernilai RM600 juta.

“Persoalannya adakah mengubah suai Carcosa Seri Negara ini sebahagian daripada peranan strategik Khazanah? Berapakah pulangan yang Khazanah akan dapat daripada projek ini?” katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2026 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbelanjaan oleh GLIC dan badan berkanun serta pelaburan awam-swasta akan memberi kerajaan tambahan RM50.8 bilion untuk inisiatif awam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, langkah tersebut akan menjadikan peruntukan keseluruhan belanjawan pada tahun depan menjadi sebanyak RM470 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI