Langkah AirAsia benarkan kru berhijab selari identiti negara – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Keputusan AirAsia membenarkan kru kabin memakai pakaian menutup aurat disifatkan sebagai langkah tepat yang selari dengan tuntutan agama serta realiti masyarakat Malaysia.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dasar itu seiring dengan demografi negara yang majoritinya beragama Islam dan menghormati hak kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga mencerminkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama.

“Dalam konteks ekonomi moden, dasar inklusif yang menghormati keperluan agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, AirAsia mengumumkan pembaharuan dasar pakaian seragam yang membolehkan kru wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, langkah itu selaras dengan budaya syarikat serta evolusi berterusan hasil maklum balas warga kerjanya.

Tuan Ibrahim menegaskan, dasar korporat yang menghormati keperluan agama pekerja bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan dalam ekonomi moden kerana mampu meningkatkan produktiviti dan reputasi syarikat.

Beliau berkata, banyak syarikat global kini mengamalkan konsep faith-friendly workplace dan tindakan AirAsia menunjukkan Malaysia turut berada pada landasan sama dalam mengangkat nilai tersebut.

“Langkah ini wajar menjadi penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara. Industri penerbangan Malaysia seharusnya mempamerkan standard yang mencerminkan identiti nasional yang mementingkan nilai agama dan budaya, bukan sekadar menumpukan aspek perkhidmatan semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan sudah tiba masanya industri penerbangan menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik, mengambil kira faktor keselamatan dan potensi gangguan kepada penumpang.

Tuan Ibrahim berkata, beberapa negara dengan norma sosial lebih konservatif telah mengehadkan atau menghentikan penyediaan alkohol tanpa menjejaskan daya saing industri penerbangan mereka.

“Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan serupa, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kehendak majoriti pengguna tempatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI