Langkah Dubai tak gugat kemasukan pelabur ke Perak

IPOH – Langkah pihak tertentu ‘merancang’ untuk menukar kerajaan tidak menggugat kemasukan pelabur ke negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menyakinkan pelabur bahawa pentadbiran negeri ini kekal stabil.

“Pertama sekali, saya dah yakinkan kepada semua pelabur bahawa insyaAllah negeri Perak ini stabil. Politiknya stabil. Kita dah buktikan setahun lebih. Saya mempengerusikan mesyuarat Exco dan kita dah melancarkan Pelan Perak sejahtera 2030..

“Semua perkembangan dan kemajuan termasuk apa yang kita rancang sudah dibuktikan menerusi kemasukan pelbagai pelaburan seperti Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Kesatuan Eropah (EU) di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan sebagainya.

“Ini bukti bahawa kita tidak retorik dan kita yakin pelabur-pelabur yakin dengan apa yang kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeterian perjanjian usaha sama SVTP Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif  Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corporation Berhad, Rosmin Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Advancecon, Datuk Phum Ang Kia.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Exco Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani menegaskan bahawa sebagai pemimpin politik, sebarang usaha untuk menjejaskan keyakinan pelabur tidak tidak seharusnya berlaku.

“Saya pun orang politik, tapi pada waktu yang sama saya mesti bertanggungjawab kepada negeri dan negara saya.

“Sebelum ini saya pernah menjadi ketua pembangkang dan saya tidak akan buat sesuatu yang boleh menyebabkan pelabur lari sebaliknya cuba meyakinkan pelabur untuk melabur di negeri ini.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya berikan masa sekurang-kurangnya empat tahun bagi menunaikan tanggungjawab.

“Jadi bab kemaruk ke tak kemaruk, itu terpulang kepada rakyat untuk menilainya,” ujarnya.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan Langkah Dubai, sejurus beberapa pemimpin dikaitkan dengan gerakan tersebut tiba di tempat pertemuan termasuk laporan selepas pertemuan selesai, malah beliau menyifatkan usaha itu hanya membuang masa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SVTP bakal bawa masuk pelaburan RM14 bilion ke Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI