Lanjutan kontrak MotoGP Malaysia diketahui bulan ini

KUALA LUMPUR – Keputusan mengenai permohonan melanjutkan kontrak penganjuran Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan tamat akhir tahun ini, dijangka diketahui bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kertas kerja untuk pembaharuan kontrak MotoGP di negara ini telah dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan sedang menunggu giliran untuk dibawa di peringkat Kabinet.

“Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan mendengar berita (pelanjutan kontrak penganjuran MotoGP di SIC) sama ada positif atau sebaliknya.

“Kami mencadangkan tempoh lima tahun tetapi ia bergantung kepada keputusan Kabinet. Harapan kami untuk menyambung lima tahun kerana terdapat banyak projek yang akan kami jalankan bersama MotoGP pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Malam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2025 di sini, malam tadi.

Untuk rekod kontrak semasa bagi Malaysia menganjurkan MotoGP diperbaharui sejak 2024 hingga tahun ini.

Katanya, antara projek bakal dijalankan bersama MotoGP adalah pembinaan pangkalan Piala Bakat Asia di Sepang yang bakal membuka peluang pekerjaan kepada bakat tempatan seperti jurutera, mekanik dan jurutera data.

Walaupun yuran penganjuran MotoGP meningkat 10 hingga 15 peratus, beliau optimis peningkatan tersebut setimpal dengan tawaran SIC menyambung kontrak perlumbaan dua roda berprestij dunia itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sukan MotoGP Carlos Ezpeleta berkata terdapat banyak kemajuan dalam rundingan dan pihaknya berasa yakin dengan pelanjutan kontrak bagi perlumbaan di SIC.

“Kami sememangnya menantikan pelanjutan kontrak untuk lima tahun lagi dengan SIC kerana ia adalah pasaran yang sangat penting.

“Dalam beberapa bulan ini, kita berjaya mencapai kemajuan dalam rundingan, jadi ia hampir dimuktamadkan dan kini hanya melibatkan proses rasmi bersama kementerian,” katanya.

Sejak 1999, perlumbaan MotoGP di Malaysia telah diadakan di SIC, kecuali pada 2020 dan 2021 apabila ia dibatalkan berikutan wabak COVID-19. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI