Lans Koperal mengaku tidak bersalah minta suapan RM12,000

IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan antara Mei dan Jun tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirul Md Irus, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta suatu suapan wang berjumlah RM10,000 daripada Muhammad Zubairi Hashim sebagai dorongan supaya tidak mendedahkan aktiviti pemprosesan air ketum oleh individu berkenaan.

Dia yang bertugas di Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah restoran di Jalan Teluk Rubiah, Kampung Permatang, Seri Manjung pada jam 10.45 malam, 5 Mei 2021.

Bagi pertuduhan kedua, Lans Koperal terbabit secara rasuah memperoleh suapan untuk wang tunai RM2,000 daripada daripada individu sama sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal supaya tidak mendedahkan aktiviti pemprosesan air ketum oleh individu sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah stesen minyak di Persiaran Venice Intan, Desa Manjung Raya, Lumut, pada jam 4.35 petang, 4 Jun 2021.

Berikutan itu, tertuduh boleh didakwa bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Bagi pertuduhan kedua pilihan, dia boleh didakwa mengikut seksyen sama di bawah Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan Muhammad Amirul diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mac depan sebagai sebutan semula untuk pengurusan kes.

Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri pada 1 hari bulan setiap bulan di Pejabat SPRM Cawangan Taiping.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor dan tertuduh diwakili peguambela, Azahir Nazir. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah terima rasuah

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI