KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sebagai `pisau bermata dua’ yang boleh membantu atau membunuh karier politiknya.
Menurutnya, pelantikan itu membawa `harapan’ dan boleh dianggap sebagai permulaan janji-janji besar seperti reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kebebasan akademik dan yang paling ketara janji menghapus atau merombak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jelasnya, ia bukan tuntutan kecil atau boleh dilepaskan begitu sahaja kerana merupakan modal politik utama Pakatan Harapan (PH) sejak bertahun-tahun lamanya.
Malah, tambah beliau, ia juga pernah diulang-ulang dalam beberapa pilihan raya umum oleh pemimpin-pemimpin PH termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, dengan gerakan mahasiswa yang dipimpin Adam Adli dahulu juga dibina atas perjuangan tersebut.
Namun, ujarnya, apabila PH menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan kerajaan, persepsi dan realiti lain mula timbul termasuk dalam lantikan Adam Adli yang kalah dalam pertandingan merebut Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Tambahnya, kekalahan Adam Adli kepada bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin itu dinilai seolah-olah pertembungan antara kem pro-Datuk Seri Rafizi Ramli dan pro-Anwar dalam PKR.
“Adakah Adam ditempatkan di sana (KPT) untuk melaksanakan reformasi atau dijadikan pengorbanan atau kambing hitam untuk melenyapkan janji-janji reformasi penghapusan Akta Universiti dan PTPTN?

“Adakah kenyataan Datuk Fahmi (Fadzil) bahawa “penipuan” atau janji-janji kosong pilihan raya adalah lumrah dan norma satu preamble atau mukadimah bahawa janji-janji itu akan digugurkan senyap-senyap dan politik Adam Adli dikuburkan bersama-sama?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Lian Ker, sekiranya benar, susunan dan strategi politik itu memang licik dan berbisa serta memudahkan PH menanam janji-janji mereka bersama dengan Adam Adli.
Katanya, ia sangat mudah dilakukan dengan meletakkan Adam Adli yang juga bekas ikon mahasiswa dalam portfolio pendidikan tinggi yang mana menterinya daripada UMNO.
Dalam masa sama, ujarnya, realiti PTPTN memerlukan dana besar, penghapusannya menggugat naratif fiskal dan memansuhkan AUKU mengurangkan kawalan serta ketenteraman di kampus akan digunakan sebagai alasan kegagalan melaksanakan janji-janji tersebut.
“Apabila gagal nanti…beban itu tidak jatuh kepada PH atau Perdana Menteri. Tidak juga kepada politikus kanan pakatan.
“Ia akan jatuh kepada bekas ikon dan pemberontak kampus yang beridentiti dengan janji-janji skrip pakatan yang sama,” katanya.
Tambah Lian Ker, ia merupakan antara risiko yang dihadapi oleh ahli politik muda berlabel reformis yang mana legasi mereka digunakan untuk menghalalkan harapan, dan kemudian digunakan untuk mengurus kekecewaan.
“Maka persoalan ini kekal — bukan serangan peribadi, tetapi diagnosis politik: Adakah Adam dilantik untuk merombak sistem atau sekadar menenangkan rakyat sementara sistem lama akan kekal?” soalnya. – MalaysiaGazette


