Lapan lelaki didakwa sertai perhimpunan awam sehingga menyebabkan kecederaan

SUNGAI SIPUT – Lapan lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, di Taman Tun Sambanthan di sini, Isnin lalu.

Tiga daripada lapan tertuduh iaitu K Lengeswran, 23; S Thinakaren, 23 dan M Akkaskumar, 24 mengaku bersalah manakala S Gunasegaran, 21; K Logen, 22; A Ignisrao, 26; M Nagaraj, 23 dan R Naresh, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas Lengeswaran, Thinakaren dan Akkaskumar.

Manakala bagi lima tertuduh lain, Nurul Asyifa membenarkan mereka diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 April depan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh secara bersama menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, V Arvind Ranair, 28.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, di sini, antara jam 9.30 hingga 11.15 malam, 11 Mac lalu.

Sehubungan itu, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum mengikut Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary memohon kepada mahkamah supaya Lengeswaran, Thinakaren dan Akkaskumar dikenakan hukuman denda maksimum berdasarkan keadaan mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, jari dan bahagian belakang badan.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya dikenakan hukuman denda minimum. Mereka kemudiannya membayar denda.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

Saravanan, saudara dituduh bunuh pekerja kontrak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI