IPOH – Seramai 24 ahli majlis termasuk lapan muka baharu mengangkat sumpah sebagai Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi tempoh dua tahun bermula tahun ini sehingga 2028.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pelantikan tersebut melibatkan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah serta 23 ahli majlis lain yang dilantik oleh pihak berkuasa negeri.
Menurutnya, 15 daripadanya adalah lantikan semula dan hampir satu pertiga daripada komposisi sekarang adalah muka baharu.
Tambahnya, ahli majlis baharu itu terdiri daripada empat wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), dua wakil Parti Amanah Negara (Amanah) dan dua wakil dari Barisan Nasional (BN).
“Kita berharap dengan pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman masing-masing boleh menyumbang kepada perkhidmatan dan juga prestasi bandar raya Ipoh.
“Menerusi pelantikan pada hari ini yang bertempoh sepanjang dua tahun, memang besar harapan kerajaan supaya semua ahli majlis dapat memainkan peranan untuk turun padang, dengar isu-isu komuniti, dan bersama-sama dengan pentadbiran majlis untuk mengenal pasti penyelesaian kepada isu-isu yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis MBI bagi tempoh 16 Mac 2026 hingga 15 Mac 2028 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Sandrea berkata, kepelbagaian latar belakang ahli majlis yang dilantik diharap mampu memastikan kesinambungan usaha dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta pembangunan bandar raya Ipoh selaras dengan perancangan negeri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


