Laporan akhir nahas helikopter: Bapa Shahrizan berlapang dada

IPOH – Bapa kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, menerima dengan hati terbuka laporan akhir yang dikeluarkan Lembaga Siasatan berhubung insiden helikopter terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut pada 23 April lalu.

Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, berkata, dia juga tidak mempunyai masalah dengan laporan yang dikeluarkan Lembaga Siasatan berkenaan.

“Bagi saya tiada masalah (laporan akhir) kerana mereka yang buat siasatan. Itu terpulang kepada mereka yang tentukan macam mana keadaannya dan saya tidak mahu membuat sebarang andaian serta situasi berhubung kejadian itu.

“Saya lihat TLDM juga sudah meneliti sepenuhnya (laporan tersebut) mereka yang menentukan dan saya tidak memihak pada mana-mana pun,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Termizi berkata, ketiga-tiga cucunya berada dalam keadaan baik dan normal.

“Bagaimanapun, isteri Allahyarham masih belum bersedia untuk ditemubual wartawan berhubung kejadian tersebut.

“Saya dan isteri kerap menziarahi kubur arwah dua ke tiga kali dalam tempoh seminggu. InsyaALLAH, keluarga saya akan mengadakan bacaan tahlil untuk arwah di surau berhampiran pada Sabtu ini,” ujarnya.

Bapa terima hasil siasatan dengan hati terbuka
Pesara Kerajaan, Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, menunjukkan gambar anak sulungnya Allahyarham Mohd Sharizan, 41, yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi, ketika ditemui dikediamannya di Lekir, Sitiawan. Foto, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID.

Sementara itu, Laila Fairus Ismail, 58, ibu saudara kepada Pegawai Waran II TNL, Norfarahimi Mohd Saedy, 41, mereka sekeluarga berlapang dada menerima laporan tersebut kerana sudah berpegang kepada qada dan qadar.

“Alhamdulillah, suami dan anak-anak arwah sudah boleh menerima kenyataan,” jelasnya.

Dalam insiden jam 9.32 pagi itu, dua helikopter iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 membawa empat kru bersama tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90.

Mangsa lain, Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi, dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat) dan Norfarahimi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Helikopter Fennec punca utama nahas korbankan 10 anggota TLDM

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI