Laporan Audit: Tiada ketirisan, hanya kelemahan prosedur – TDM

LENGGONG – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan tiada sebarang unsur
penyelewengan atau ketirisan dalam isu pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak kenderaan perisai seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, sebaliknya kelewatan pengutipan denda terhadap kontraktor adalah berpunca daripada kelemahan prosedur pengurusan kontrak berkenaan.

Katanya, isu berkenaan bukan sebagai suatu perkara yang pertama kali berlaku, namun ia tertakluk kepada proses penyelesaian kontrak secara beransur-ansur mengikut kaedah rundingan.

“Tidak ada sebarang isu ketirisan atau penyelewengan yang berlaku, sebaliknya ia hanya prosedur yang mungkin tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak berkaitan.

“Oleh itu, selepas ini kita akan lebih berhati-hati supaya pengurus kontrak dapat mengambil tindakan pada masa yang tepat. Ini kerana, kita mempunyai banyak projek yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais KERIS STRIKE 2025 di FELDA Lawin Selatan, dekat sini, pada Selasa.

Muhammad Hafizuddeain berkata, hasil siasatan juga mendapati, sebanyak RM167 juta denda lewat masih belum dikutip oleh Kementerian Pertahanan daripada kontraktor terlibat.

Jelas beliau, bagaimanapun, proses tuntutan sedang dijalankan secara berperingkat, termasuk melalui mekanisme penarikan bon bank serta pelarasan dalam kontrak baharu yang akan datang.

“Denda lewat ini adalah sebahagian daripada ketetapan prosedur dalam kontrak apabila kontraktor gagal membuat penghantaran dalam tempoh ditetapkan.

“Sebagai di pihak pengguna, TDM yang sepatutnya melaporkan (hal ini). Oleh itu, kita sentiasa memantau situasi ini kerana tidak mahu perkara dilaporkan menjejaskan reputasi kita,” ujar beliau.

Minggu lalu media melaporkan LKAN mendedahkan terdapat kelemahan ketara dalam pengurusan perolehan kontrak beberapa aset utama TDM.

Menurut LKAN 2/2025, nilai kontrak berjumlah RM7.8 bilion dalam tempoh audit 2020 hingga 2023 itu melibatkan aset termasuk Gempita, Pendeka, Adnan, Lipan Bara dan MIFV. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kerajaan bersifat terbuka terima teguran laporan Ketua Audit

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI