Laporan JKD perlu jadi asas reformasi pendidikan pasca 2025

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JKD) yang disiapkan pada 2019 dibuka semula untuk dijadikan dokumen asas kepada Reformasi Pendidikan pasca 2025.

Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, JKD itu merupakan dokumen pendidikan paling komprehensif dan terkini yang dimiliki negara pasca pandemik Covid-19 sekali gus boleh menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan berakhir tahun depan.

Tambah beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), JKD yang telah sedia ada itu mampu menawarkan model pendidikan baharu (New Education Model) untuk anak-anak Malaysia.

“Malah dokumen JKD tersebut sepatutnya dikongsikan secara terbuka kepada seluruh rakyat bagi meneliti isi kandungannya.

“Biar rakyat berbincang tentang Reformasi Pendidikan bagaimana yang mereka impikan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai JKD itu, Anuar berkata, ia merupakan sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pelbagai pihak berkepentingan dalam pendidikan negara termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru dan ramai lagi.

Dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Bajunid dan kemudian dipangku tugas oleh Prof. Datuk Dr. Madeline Berma, katanya, JKD melakukan kajian secara libat urus dan menggunakan metadologi kajian yang empirikal selama kira-kira hampir setahun.

Pada akhirnya, ujar beliau, laporan kajian tersebut berjaya dilengkapkan dan diserahkan kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Maszlee Malik.

Bagaimanapun, jelasnya, laporan tersebut tidak sempat dilaksanakan disebabkan berlakunya perubahan pucuk kepimpinan selain keadaan politik negara yang tidak menentu sehingga berlaku beberapa kali pertukaran Perdana Menteri dan Menteri-menteri, ditambah dengan pandemik Covid-19 sehingga sekolah ditutup begitu lama.

“Kita seringkali mendengar laungan kepimpinan pendidikan negara untuk melakukan reformasi pendidikan tetapi apa sumber asas Reformasi Pendidikan yang inginkan mereka gunakan sebagai panduan?

“Antara tahun 2019-2024, satu-satunya laporan yang boleh menjadi sumber utama untuk kita laksanakan Reformasi Pendidikan menjelang tamatnya PPPM 2025 nanti ialah Laporan Kajian Dasar Pendidikan 2019.

“Sayang sekali jika laporan sepenting itu diabaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI