IPOH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, telah mengarahkan satu laporan lengkap disediakan berhubung kontroversi seorang guru menghina 15 penuntut Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Jalan Gerik-Jeli Isnin lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pemilik akaun Facebook bernama Khalid Yunus merupakan seorang pendidik di salah sebuah sekolah di negeri ini.
Menurut Khairudin pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlibat telah menghubungi pengetua sekolah di mana guru tersebut bertugas selepas ia menjadi tular.
“Saya amat kesal dengan tindakan pendidik itu dan pihak PPD telah meminta kaunselor organisasinya menghubungi beliau dan menasihatinya.
“Selain itu, pihak pengetua sekolah telah menasihati pendidik tersebut untuk memadamkan hantaran berkenaan dan setelah disemak pada jam 8.10 malam hantaran itu telah dipadamkan,” katanya ketika dihubungi.
Khairudin berkata, rentetan itu PPD daerah berkenaan akan mendapatkan laporan lengkap daripada pihak pengetua selaras dengan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengurusan isu.
Terdahulu tular pemilik akaun Facebook bernama Khalid Yunus menyatakan kematian kesemua penuntut UPSI itu adalah sebagai dalam keadaan hina.
Bukan itu sahaja, dia turut menyatakan kesemua mangsa bukan kalangan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau bagaimanapun kemudiannya memadam status kontroversi tersebut dan mememuat naik satu lagi status dengan permohonan maaf kepada ahli keluarga mangsa.
Guru itu juga mendakwa dia menghidap penyakit skizofrenia iaitu sinonim dengan pemikiran yang tidak teratur dan mengalami delusi atau halusinasi pendengaran. -MG Perak