SUNGAI SIPUT – Seorang jurujual kedai peralatan lampu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput, pada Khamis selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa samun.
Tertuduh, Khiu Jia Shun, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan di pejabat pegawai penyiasat bahagian siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada jam 1 tengah hari, 9 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah.
Terdahulu, Siti Hajar memohon mahkamah menetapkan hukuman minimum kepada guamnya kerana tertuduh menetap di Johor dengan pendapatan bulanan RM3,000 selain terpaksa menanggung kedua ibu bapa yang uzur.
Walau bagaimanapun, Vitthiyeswary meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh alasan tertuduh membuat laporan palsu disifatkan sebagai tidak munasabah.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM2,000 kepada tertuduh dan akan dipenjara empat bulan jika gagal berbuat demikian.
Mengikut fakta kes, tertuduh mendakwa kononnya wang kedai berjumlah RM10,000 telah disamun telah disamun dua lelaki menaiki motosikal yang tidak dipastikan jenis dan nombor pendaftaran ketika berada, di tepi Taman Kemiri, dekat sini berhampiran sebuah kilang, pada 9 Februari lalu.
Hasil soal siasat mendapati, kejadian samun tersebut tidak berlaku sebaliknya wang yang didakwa dilarikan dua lelaki tidak dikenali itu sebenarnya telah digunakan tertuduh bagi membuat persiapan Tahun Baharu Cina. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pembantu kedai runcit didenda RM7,000 mengaku salah cabul pelancong asing